Keputusan kerajaan negeri Sarawak mahu menukar gelaran ketua kerajaan mereka dari ketua menteri kepada premier terjadi apabila kerajaan pusat lemah dan perdana menteri tidak dihormati.
Tokoh wartawan Datuk A Kadar Jasin berkata, apabila perdana menteri tidak dihormati, ia menyebabkan neger-negeri naik tocang.
“Di Malaysia ni banyak orang suka nama orang Putih dan Arab. Tak faham kepala ekor tak apa asalkan nampak bergaya.
“Lepas ini janganlah hairan kalau negeri-negeri lain pun nak tiru Sarawak dengan menukar gelaran Menteri Besar dan Ketua Menteri mereka.
“Inilah jadinya apabila Kerajaan Pusat lemah dan Perdana Menteri tidak dihormati. Negeri-negeri pun naik tocang,” kata Kadir menerusi facebook beliau.
Kadir mengulas keputusan kerajaan negeri Sarawak yang mahu menukar nama gelaran untuk ketua kerajaan mereka dari ketua menteri kepada premier.
“Sekarang Sarawak nak “stylised”kan Ketua Menteri/Chief Minister menjadi Premier.
“Tapi Premier itu bahasa Inggeris. Adakah dalam bahasa Melayu pun mereka hendak guna Premier juga?” kata Kadir, bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu.
Katanya, Sarawak dan Sabah sekarang tengah beria-ia hendak berlainan daripada Semenanjung atas alasan autonomi.
“Kita sedar dan, sikit sebanyak, kita faham aspirasi mereka.
“Tapi setakat tukar gelaran Chief Minister jadi Premier kerana nak bunyi seakan-akan Prime Minister pun tak guna juga kalau benda-benda lain yang bersangkut-paut dengan kehidupan rakyat jelata tidak bertambah baik,” katanya.
Malangnya, kata beliau, media massa berbahasa Inggeris pun sering keliru mengenai penggunaan Prime Minister dan Premier ini.
“Mereka sering mencampuradukkannya. Penggunaan yang tepat adalah “Prime Minister of Australia, Scott Morrison”. “Premier of Victoria, Daniel Andrews”.” katanya.