Demi cipta peluang kerja untuk rakan di kampung, pemuda sanggup berhenti ‘Oil & Gas’ & buka kedai buah sendiri

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjaya selesanya dalam industri minyak dan gas, semata-mata mahu membina perniagaan dan memberi peluang pekerjaan kepada rakan-rakan di kampung.

Mohd Afiffudin Rani, 31, berkata, dia memulakan perniagaan buah-buahan di kampungnya di Kuala Terengganu pada 2019 dengan bermodalkan duit simpanan sebanyak RM10,000.

Selepas enam tahun berniaga, dia kini mampu mengupah empat pekerja terdiri daripada rakan-rakan yang menganggur.

“Pendapatan hasil menjual buah-buahan juga lumayan dan paling penting, dapat membantu rakan yang menganggur di kampung mendapatkan pekerjaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Bagaimanapun kata pemuda itu, dia tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya lamanya walaupun ada beberapa orang yang mempersoal keputusannya berhenti kerja.

Dia katanya bersyukur dan gembira melihat rakan-rakan yang sebelum ini menganggur dapat menjana pendapatan sendiri.

“Walaupun gaji yang ditawarkan tidak terlalu besar, tetapi pendapatan itu sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan harian mereka.

“Mereka juga seronok bekerja kerana pekerjaan yang ditawarkan itu tidak membebankan, malah ditawarkan bonus sekiranya jualan tinggi,” katanya.

Baca juga: “Walau sedar diri sudah berlaki, tetapi aku masih menaruh hati dengan suami orang”