Didakwa dah tak islamik, imej rambut hijau Hafiz Suip terjawab akhirnya, semua demi ‘Terus Bersinar’

Oleh KIM SYAZIE

Akhirnya terjawab juga mengapa Hafiz Suip bertindak luar daripada biasa apabila tampil dengan rambut hijau yang agak tidak kena dengan karakternya.

Sebelum ini penampilannya yang mengejutkan ramai itu menimbulkan cakap-cakap yang mendakwa Hafiz kini tidak islamik seperti dahulu.

Bagaimanapun menurut laporan, tindakan penyanyi berusia 33 tahun itu mewarnakan rambut rupa-rupanya demi single terbaharu yang berjudul Terus Bersinar.

Hafiz atau nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip berkata, lagu yang bergenre balada itu jika dihayati sebenarnya membawa mesej untuk anak.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik. 

“Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri.

“Jadi, untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak. Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya.

Menariknya, lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga dan Jova Devito itu adalah kerjasama pertama Hafiz bersama mereka.

Hafiz sebelum ini popular dengan lagu Awan Nano, Noktah Cinta, Ku Akui, Bahagiamu Deritaku, Kisah Cinta Kita dan banyak lagi malah deretan lagu yang sudah dihasilkan masih menjadi siulan hingga kini.

Daripada hubungan bersama bapa, adik beradik, suami isteri hingga kekasih, mesej yang diketengahkan menerusi lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati.

Bukan bersifat peribadi tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Hafiz berkata dia terus jatuh cinta dengan lagu itu ketika kali pertama mendengar melodiya.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu.

“Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ni memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaharu saya.

“Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar. 

“Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya

Baca juga: Lama tak dengar cerita, penampilan terkini Hafiz Suip berambut hijau buat ramai terkejut