Siapa sangka, seorang lelaki yang memegang status sebagai guru agama sanggup memperdaya dua orang wanita untuk melakukan hubungan intim.
Mengejutkan, pemuda yang bertugas di sebuah sekolah agama di Melaka itu juga menyimpan beberapa imej berunsur lucah di dalam telefon bimbit miliknya.
Didapati bersalah atas tiga pertuduhan, guru agama itu dikenakan denda sebanyak RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Selasa lalu (10 Oktober).
Denda itu dikenakan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas Ahmad Saifullah Abdul Khalid mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Saifullah telah melakukan dua kesalahan memperdaya dua orang wanita berusia 19 dan 33 tahun dengan menawarkan pinjaman.
Difahamkan, tertuduh menawarkan pinjaman masing-masing berjumlah RM300 dan RM2,000 sebagai umpan untuk melakukan hubungan intim dengan kedua wanita itu.
Mula mengenali mangsa-mangsanya menerusi platform sosial media, kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan oleh Saifullah di lokasi yang berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, guru agama tersebut telah melakukan kesalahan di dalam sebuah hotel di Jalan PM4, Plaza Mahkota pada 21 Mac kira-kira pukul 12.40 pagi.
Manakala bagi pertuduhan kedua, kesalahan berikutnya dilakukan oleh Saifullah di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru pada pukul 11 pagi, 1 Oktober lalu, lapor The Star.
Kedua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Ahmad Saifullah melakukan kesalahan apabila didapati memiliki tujuh bahan berunsur lucah yang disimpan di dalam telefon bimbit miliknya.
Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah sekolah agama yang terletak di KM11, Solok Gaung, Bukit Lintang, daerah Melaka Tengah pada 1.50 tengah hari, 3 Oktober lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Saifullah yang tidak diwakili peguam itu merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman denda kerana perlu menanggung ibu bapa termasuk dua orang kanak-kanak.
Majistret Sharda Shienha kemudian menetapkan denda RM3,500 bagi pertuduhan pertama dan kedua atau hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayarnya.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, majistret menetapkan denda sebanyak RM5,0000 dan sekiranya gagal membayarnya, Saifullah akan dipenjara selama 10 bulan.
Saifullah yang mengaku menyesali perbuatannya itu tidak dikenakan hukuman penjara selepas membayar kedua denda tersebut.
Baca juga: Pembunuh serah diri pada polis, 3 bulan tak boleh tidur diganggu arwah kekasih