Dikecam jual biskut harga kayangan, Shuhada umum tutup bisnes selepas baru 2 bulan

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri telah menghentikan penjualan biskut jenamanya sendiri setelah dua bulan mengusahakannya.

Shuhada mengumumkan untuk tidak lagi meneruskan perniagaan itu menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya.

Menutup tempahan biskut ‘Shelup Shelup’, Shuhada akui dirinya berdepan dengan pelbagai ujian sejak menjalankan perniagaan.

Oleh yang demikian, wanita yang berusia 29 tahun itu memutuskan untuk melancarkan produk baharu yang lebih sesuai untuk orang ramai.

“Semua tahu Shu lancarkan Shelup Shelup sebelum puasa haritu. Shu mulakan Shelup Shelup sebab nak hidupkan impian untuk berdikari.

“Tapi, bila mula beroperasi, Shu berhadapan dengan macam-macam ujian dan dugaan. 

“Shu nak tutup terus pesanan Shelup Shelup dan fokus untuk R&D (penyelidikan dan pembangunan) produk Shu seterusnya,” katanya.

Sebelum ini, biskut yang dilancarkan Shuhada mendapat kritikan orang ramai kerana ia dijual dengan harga ‘kayangan’.

Mahu memberi sokongan kepada wanita yang teraniaya, namun ramai yang mengadu tidak mampu untuk membeli biskut yang berharga RM179 itu.

Baca juga: Selamba je jururawat ni buat live TikTok siar wanita tengah bersalin di hospital