Dikecam pilih hospital swasta, Norish Karman akhirnya dedah siapa sebenarnya bayar kos rawatan

Oleh MAISARAH AISYA

Keluarga pelakon kelahiran Singapura, Norish Karman masih berdepan kecaman netizen susulan kenyataan yang dibuat ketika siaran langsung bersama usahawan terkenal, Aliff Syukri.

Antara isu yang hangat diperkatakan termasuk impiannya untuk membeli kenderaan bernilai RM150,000 sekiranya menerima bayaran RM200,000, selain persoalan mengapa dia mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Menjawab kritikan tersebut, Norish menjelaskan keputusan memilih hospital swasta bukan dibuat olehnya sendiri kerana ketika itu dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, segala urusan rawatan telah diambil alih oleh anak perempuannya, Amanda, demi memastikan dia menerima bantuan perubatan dengan segera.

“Soalan saya kenapa sibuk? Ada penaja dari Singapura dan seorang penerbit dari Kuala Lumpur yang begitu, baik mulianya hatinya menggesa saya mendapatkan rawatan terbaik.

“Ketika itu saya pun tak sedar, ini semua kerja Amanda (anak). Tahu-tahu saya di katil hospital, anak saya uruskan semuanya dengan arahan daripada orang Singapura dan seorang dari Kuala Lumpur.

“Mereka meminta untuk dapatkan rawatan terbaik untuk saya,” kongsinya dalam temu bual bersama Melodi.

Dalam masa sama Norish meminta orang ramai untuk berhenti memaki anak-anaknya dan memaafkan segala kata-kata kesat yang dilempar kepadanya.

“Saya mohon berhentilah maki hamun anak-anak saya. Saya okay 22 tahun jadi artis, orang maki pun okay sahaja. Tak payah nak ingat benda lalu.

“Hari ini saya ikrar mengampunkan segala kata-kata kesat sebagaimana Allah SWT memaafkan kita. Cari keredaan Allah dan perlahan-lahan baiki diri kita,” tambahnya.

Baca juga: Anak Norish Karman nafi malas kerja, dakwa ibu ‘sakit’ setiap kali nak cari duit lebih