Disangka bergaduh, isteri rupanya menjerit sebab Badrul Muhayat dah tak bernyawa – Aida Aris

Oleh WAN SITI AMINAH

Negara semalam dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran, Allahyarham Badrul Muhayat yang meninggal dunia dalam tidur pada pagi Sabtu.

Rakan pelakon, Aida Aris kemudian tampil berkongsi detik cemas yang dihadapinya ketika terdengar jeritan kuat daripada isteri Allahyarham Badrul, Norhayati Zulkapli.

Aida dan Badrul menginap di inap desa yang sama berikutan mereka adalah peserta dalam karnival usahawan Uda di Jalan Baru Perai, Pulau Pinang, sejak kelmarin.

Menyangka ada pergaduhan berlaku, Aida yang mendengar jeritan daripada Norhayati itu sedang bersiap untuk bertolak ke karnival pada pagi Sabtu (semalam).

Pemilik nama sebenar Siti Rohaida Mat Aris itu bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan Norhayati tentang pemergian arwah ketika sampai ke bilik, lapor Berita Harian.

“Saya terkejut bila mendengar jeritan Norhayati daripada dalam bilik. Secara kebetulan, kami menginap di homestay sama, jadi saya bergegas ke biliknya.

“(Namun) arwah sudah tidak sedarkan diri. Kami cuba memberi bantuan pernafasan, tapi tiada respon dan kami segera memanggil ambulans,” katanya memetik Berita Harian.

Nurhayati menerusi laporan Kosmo! berkata bahawa arwah sempat meminta tolong untuk memindahkan wang ke akaun anaknya pada pukul 7.30 pagi di hari kejadian.

Badrul kemudian sambung tidur sebelum ditemui tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan yang tidak normal ketika dikejutkan Norhayati pada pukul 10.50 pagi.

“Abah penat, abah nak sambung tidur balik. Itu kata-kata terakhir daripadanya sebelum saya kejutkan dia buat kali kedua pada pukul 10.50 pagi.

“Ketika itu, keadaannya sudah tidak normal. Badannya ada tompok-tompok darah (seakan darah beku), tangan longlai, dahi sudah sejuk, cuma dada dia panas sikit.

“Saya jerit panggil rakan-rakan dalam homestay sebelum hubungi ambulans,” kongsi Nurhayati yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga memetik laporan Kosmo!.

Menurut Norhayati, kematian Badrul Muhayat yang menghidap penyakit kencing itu disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di inap desa berkenaan.

Reda dengan ketentuan Ilahi, Norhayati memaklumkan bahawa jenazah Badrul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda di Sentul, Kuala Lumpur pada pagi ini.

Difahamkan, jenazah Allahyarham yang menghembus nafas terakhirnya di usia 55 tahun itu telah dibedah siasat, dimandi dan dikafankan di Hospital Seberang Jaya, semalam.

Berdasarkan keputusan bedah siasat, kematian pelakon lelaki berkenaan meninggal dunia didapati berpunca daripada serangan jantung.

Terdahulu, palakon yang mula dikenali ramai menerusi lakonannya di filem Harry Boy itu baharu sahaja mendirikan rumah tangga dengan Norhayati pada 18 April lalu.

Badrul sebelum ini pernah berkahwin dan hasil perkongsian hidup besama bekas isteri, pelakon berkenaan memiliki dua cahaya mata yang kini berusia 13 dan 16 tahun.

Baca juga: Jijik! ‘Pesta gelek’ jadi punca festival makan di Kluang diarah tutup serta merta