Enam individu terdiri daripada empat pegawai, seorang anggota dan pesara polis ditahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang untuk membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM150,000.
Kesemua mereka kemudian dikenakan perintah tahanan reman selama lima hari bermula hari ini (Rabu) sehingga 18 Januari depan selepas Majistret Shyahirah Abdul Salim membenarkan permohonan dikemukakan oleh SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown.
Memetik laporan Berita Harian, sumber memaklumkan bahawa kesemua individu yang berusia antara 40 hingga 60-an itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang, semalam di antara pukul 11 pagi sehingga 5 petang.
Rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 itu disyaki diterima oleh pegawai dan anggota polis berkenaan sebagai satu bentuk balasan untuk melindungi aktiviti perniagaan yang melanggar undang-undang termasuklah pusat hiburan, premis urut dan judi haram.
“Semua mereka ditahan bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan, pusat urut dan judi haram yang melakukan kesalahan undang-undang.
“Berdasarkan siasatan awal, semua mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2021 dengan menerima rasuah RM500 hingga RM2,000 setiap bulan,” kata sumber yang tidak dinamakan itu memetik laporan Berita Harian.
Suspek didakwa menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan secara dalam talian daripada pemilik syarikat pinjaman wang berlesen dan perkhidmatan kesihatan manusia ke akaun pihak ketiga untuk menyembunyikan sumber aliran duit tersebut diterima.
Terdahulu, mereka yang terdiri daripada empat pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP), satu anggota berpangkat Sarjan dan seorang lagi pesara polis dengan pangkat terakhir sebagai Sarjan tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM.
Seorang suspek berpangkat ASP yang berusia 46 tahun diwakili oleh peguam, K Mahendaran manakala A Mahesh mewakili seorang lagi pegawai ASP berusia 45 tahun dan empat suspek yang lain pula diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, penahanan semua suspek disahkan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y Subbiah yang memaklumkan bahawa kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Penahanan tersebut turut menjadikan jumlah suspek yang ditahan setakat ini adalah tujuh individu susulan seorang pegawai polis berpangkat ASP ditahan semalam selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM27,000.
Baca juga: Pelakon dedah sisi gelap dunia pelakon kanak-kanak, dakwa alami trauma sejak kecil