Pelakon dedah sisi gelap dunia pelakon kanak-kanak, dakwa alami trauma sejak kecil

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon Alqal Sahar tampil membuat pendedahan terbuka mengenai pengalaman pahit yang didakwa dialaminya sejak zaman kanak-kanak, melibatkan penderaan seksual dan eksploitasi ketika bergelar pelakon cilik.

Menerusi beberapa perkongsian di Threads, Alqal menegaskan pendedahan itu bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.

Sebaliknya untuk membongkar salah laku serius serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai sisi gelap dunia hiburan, khususnya melibatkan pelakon kanak-kanak.

“Aku luahkan ini sebab aku tak mahu pelakon kanak-kanak zaman sekarang lalui benda jijik yang pernah aku hadap dulu,” tulisnya.

Menurut Alqal, dia dibesarkan dalam keluarga yang hidup serba kekurangan dan mula berlakon sejak kecil demi membantu menyara keluarga.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan dia terdedah kepada individu yang mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Alqal turut mendakwa dirinya menjadi mangsa penderaan seksual berulang kali ketika masih di bawah umur, satu trauma yang menurutnya kekal menghantui sehingga kini.

“Keluarga aku orang yang susah, adik-beradik ramai. Dari aku kecil berlakon nak membantu keluarga… di situlah aku dipaksa melakukan perkara jijik.

“Tak sanggup zaman kanak-kanak aku diperlakukan sedemikian oleh individu tersebut,” luahnya.

Lebih membimbangkan, Alqal percaya bukan dirinya seorang sahaja yang menjadi mangsa, malah mendakwa ramai pelakon kanak-kanak lain pada era itu turut mengalami nasib sama.

“Aku rasa ramai pelakon kanak-kanak zaman itu terkena dengan individu ini, dan juga masih di zaman sekarang pun ada budak-budak yang terjebak, cuma mereka takut nak bersuara,” katanya.

Dalam pendedahan lain, Alqal mendakwa adiknya sendiri turut pernah menjadi mangsa individu sama, sekali gus mendorongnya untuk tidak lagi berdiam diri.

“Hari ini baru aku tahu, yang lebih menyedihkan, adik aku sendiri pun pernah jadi mangsa.

“Aku diam untuk menjaga tali persaudaraan itu, tapi hakikatnya sampai sekarang luka ini masih ada. Sumpah dengan nama Allah, ini benar,” tegasnya.

Baca juga: Doktor didakwa salah pasang IUCD sampai rahim bocor, wanita tampil buat laporan polis