Doktor didakwa salah pasang IUCD sampai rahim bocor, wanita tampil buat laporan polis

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang wanita yang terpaksa menanggung derita seumur hidup akibat kecuaian di dalam prosedur pemasangan alat pencegah hamil iaitu Peranti intrauterin (IUCD) telah mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya akibat kecuaian itu, wanita terbabit sudah tidak boleh melahirkan anak secara normal buat seumur hidup kerana IUCD berkenaan dikatakan dipasang dengan salah lalu menyebabkan rahim mangsa bocor.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, wanita dikenali sebagai Damia Asyiqin itu memaklumkan bahawa prosedur pemasangan IUCD tersebut dijalankan di sebuah klinik kesihatan di Pontian, Johor.

Sebelum menjalani prosedur, rahim Damia berada dalam keadaan normal namun wanita itu mengakui rasa sakit yang teramat sangat sewaktu IUCD berkenaan dipasang oleh salah seorang petugas di klinik berkenaan.

“Aku rasa nak terburai perut, sakit sangat. Tetapi doktor itu cakap perkara tersebut normal. Tetapi bagi aku, sakit yang luar biasa sampai tak boleh bangun. Kemudian doktor itu suruh aku masuk bilik ‘scan’. Nak tengok alat itu di mana.

“Tiba-tiba dia cakap ada kelainan, macam pelik. Dia suruh pergi buat imbasan X-ray untuk tengok lebih jelas. Rupa-rupanya, memang betul doktor itu salah pasang! Ya Allah hancur hati tengok IUCD itu tertembus dinding rahim.

“Apabila pergi ke klinik kesihatan itu balik, senang-senang sahaja doktor itu cakap kena rujuk kepada pakar sebab tak boleh nak keluarkan di klinik kesihatan itu semula,” jelasnya berhubung kejadian pada 19 Disember lalu itu.

Wanita itu kemudian dirujukkan kepada doktor pakar di hospital namun alangkah terkejutnya mangsa apabila dimaklumkan bahawa perutnya perlu dibedah untuk mengeluarkan semula IUCD berkenaan.

Perkara tersebut sudah tentunya membuatkan mangsa merasa kecewa malah trauma memandangkan wanita terbabit baru sahaja habis pantang selepas melahirkan anak sekitar dua bulan sebelum kejadian itu berlaku.

“Terus pergi balai buat ‘cover report’. Kemudian pergi ke hospital semula untuk dapatkan tarikh pembedahan. Ya Allah, kenapa sebabkan kecuaian orang lain, aku yang merana seumur hidup. Dapat tarikh 1 Januari masuk wad.

“Pembedahan pada 2 Januari. Masuk bilik bedah pukul 4 petang, jam 11 malam baru masuk ke wad semula. Sedar-sedar sahaja pakar cakap rahim bocor, tak boleh beranak normal lagi seumur hidup selepas ini. Apendiks pecah.

“Usus kecil dan besar yang luka, doktor pakar sudah jahitkan. Terus gelap dunia. Masa itu, tak tahu nak cakap apa. Sebabkan kecuaian dan percubaan orang lain, aku yang merana,” kesal wanita terbabit dalam hantaran itu.

Perkara lebih mengecewakan adalah doktor yang terlibat dalam pemasangan IUCD itu dikatakan tidak memohon maaf mahupun bertanya khabar kepada mangsa selepas kejadian tersebut berlaku atas kecuaiannya.

Difahamkan, Damia akan memfailkan tindakan saman demi menuntut hak terhadap petugas kesihatan terbabit di atas kecuaiannya yang mendatangkan kecacatan fizikal serta tekanan emosi.

Baca juga: Netizen Indonesia ‘claim’ Rembayung tiru mereka