Dr Zulkifli lelong jam Rolex pemberian Raja Arab Saudi, bidaan kini cecah RM125,000

Oleh KIM SYAZIE

Bidaan jam berjenama Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kini mencecah RM125,000.

Beliau berkata, hasil bidaan jam itu akan disalurkan sepenuhnya kepada kebajikan rakyat Palestin.

Menerusi ruangan komen pada satu hantaran beliau di Facebook, nilai bidaan tertinggi itu adalah jumlah yang dicatatkan setakat pukul 8.23 malam tadi.

“Makluman terkini jam 2023, 30 Oktober 2023. Bidaan tertinggi adalah sebanyak RM 125,000.00,” katanya.

Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu bertindak membuka bidaan jam Rolex pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud sebanyak RM40,000.

Hasil bidaan itu katanya, akan disalurkan sepenuhnya kepada kebajikan rakyat Palestin.

Menjunjung kasih DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Al-Malik Salman Abdulaziz atas derma kurnia yang amat bermakna ini, titah baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.

“Dengan menjunjung titah itu dan meraikan kesungguhan kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan berbilion dolar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan ini dengan harga tapak RM40,000.

“Kenaikan bermula RM100 ke atas. Bidaan akan ditutup pada 31 Oktober 2023 jam 12 tengah malam ini,” katanya dalam Facebook.

Terdahulu, Dr Zulkifli berkata, pada awalnya beliau tidak mengetahui kandungan hadiah pemberian Raja Salman pada Februari 2017 itu sehinggalah ia dibuka pada tahun 2021.

Kotak itu hanya dibuka selepas beliau bukan lagi Menteri Agama.

“Saya tidak buka kotak cenderamata itu. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri.

“Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak terbabit dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.

“Apabila saya meletak jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak itu dipindahkan ke pejabat peribadi saya. Di sana barulah saya membukanya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Arab Saudi,” katanya.

Baca juga: Dah sejuk pun rangup lagi! Ini resipi rahsia tepung goreng pisang dari peniaga 20 tahun