Polis Thailand sedar kehadiran media, urus penghantaran Eda Ezrin senyap-senyap?

Oleh MALAYSIADATELINE

Proses penghantaran pulang penyanyi dikir barat terkenal, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya ke Malaysia pada hari ini dijalankan oleh pihak polis Thailand secara ‘senyap-senyap’.

Difahamkan, langkah itu diambil pihak berkuasa Thailand selepas menyedari kehadiran pihak media, ahli keluarga dan kenalan Eda Ezrin di Sungai Golok sejak semalam sehingga ke hari ini.

Memetik laporan Kosmo, Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, serta rakan iaitu Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, masih berada di bilik khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Mueang setakat pukul 12.20 tengah hari waktu tempatan.

Jurucakap Polis Daerah Mueang memaklumkan bahawa keenam-enam rakyat Malaysia itu berada dalam keadaan sihat dan telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar pulang ke tanah air.

“Penghantaran pulang kesemua mereka dilakukan secara senyap-senyap. Mungkin dalam sejam dua lagi. Anggota polis Sungai Golok akan mengiringi mereka ke pejabat imigresen untuk proses dokumentasi.

“Ada media Malaysia dan keluarga Eda datang untuk bertemu di balai polis di sini. Tetapi kami menerima arahan untuk tidak membenarkan mereka masuk,” kata jurucakap berkenaan memetik laporan Kosmo.

Pihaknya juga menjelaskan bahawa Eda atau nama sebenarnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail dan suami beserta rakan mereka telah diberi bilik khas di ibu pejabat polis terletak di wilayah Narathiwat itu mengikut pasangan masing-masing.

Terdahulu, Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan sepenuhnya Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dari Penjara Pusat terletak di wilayah berkenaan semalam dan dijangka pulang ke Kelantan hari ini.

Mereka semua bagaimanapun perlu bermalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Mueang sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Pekan Sungai Golok untuk urusan dokumentasi.

Selepas itu, kesemua individu terbabit akan dibenarkan pulang ke Kelantan pada pagi esok melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Enam individu itu sebelum ini didakwa atas tuduhan pemilikan 6,059 pil dadah jenis methamphetamine namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan barang terlarang tersebut dibawa masuk ke bilik hotel oleh tiga individu lain.

Baca juga: Mamat Got No Chill nak berhenti hisap vape, alami gejala nafas pendek dan perut sakit