Geram tengok isteri tertidur jaga anak dan tak masak, suami terlajak lafaz talak tiga

Oleh MALAYSIADATELINE

Dalam banyak situasi rumah tangga, kemarahan sering menjadi punca retaknya hubungan malah menjadi asbab penceraian.

Menerusi perkongsian di Threads, Ismi Izzah berkongsi kisah seorang wanita dikenali sebagi Puan Najiah yang diceraikan talak tiga.

Mahkamah Syariah menetapkan perceraian talak tiga sebagai sah selepas seorang suami mengakui melafazkan cerai dalam keadaan sedar, meskipun mendakwa dirinya ‘tidak sengaja’ berbuat demikian.

Ketika prosiding, hakim mempersoalkan tindakan lelaki itu yang menceraikan isterinya hanya kerana wanita berkenaan tidak memasak pada hari kejadian.

Suami tersebut menjelaskan bahawa isterinya selama ini sentiasa memasak dan menguruskan rumah tangga dengan baik, namun pada hari dia pulang dalam keadaan penat, isterinya tidak menyediakan makanan.

Lelaki itu turut mengakui bahawa rumah berada dalam keadaan bersih, manakala pakaian telah dicuci dan dilipat.

Hakim kemudian menegur tindakannya yang menggugurkan talak hanya kerana satu tugas rumah tidak disiapkan, sedangkan banyak isteri lain juga tidak memasak setiap hari.

Dalam prosiding sama, mahkamah dimaklumkan bahawa isteri pasangan itu sedang menjaga anak mereka yang merupakan kanak-kanak autisme.

Hakim bertanya siapakah yang menguruskan anak tersebut, dan suami mengesahkan bahawa isterinya yang memikul tanggungjawab itu sepenuhnya.

Apabila ditanya tentang kesedaran ketika melafazkan cerai, lelaki itu mengakui bahawa dirinya marah, namun tetap sedar sepenuhnya sewaktu mengucapkannya.

Dia juga mengakui bahawa lafaz tersebut memang telah terlintas dalam fikirannya sebelum dia menyatakannya.

Selepas meneliti segala keterangan, hakim memutuskan bahawa lafaz talak tiga itu berlaku dalam keadaan sedar dan sah di sisi undang-undang.

Baca juga: Orang Shah Alam mula resah dengar siren air dalam paras bahaya, bimbang banjir besar