Habis muka lebam disangka dipukul suami, Asyalliee tampil jelaskan kejadian sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Enggan membiarkan spekulasi terus tersebar, usahawan yang juga personaliti media sosial iaitu Asyalliee Ahmad tampil membuat penjelasan mengenai lebam di wajahnya.

Hal ini ekoran terdapat dakwaan bahawa lebam di mata dan hidungnya itu berpunca daripada perbuatan suaminya, Eboy Arbaain yang disangka bertindak memukulnya.

Menepis dakwaan tersebut, Asyalliee menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads menjelaskan bahawa lebam itu sebenarnya berpunca daripada kemalangan.

Difahamkan ketika kejadian, usahawan yang lebih mesra disapa Asya itu melakukan aktiviti sukan atau perlumbaan go-kart bersama suaminya di sebuah litar tempatan.

Litar perlumbaan itu dikatakan agak licin pada hari kejadian sehingga menyebabkan pemanduan go-kart tidak berjalan dengan lancar sebelum berlakunya kemalangan.

“Habis semua orang ingat suami pukul saya. Padahal menerusi hantaran di media sosial sebelum ini, sudah beritahu bahawa saya terlibat dengan kemalangan.

“Saya insiden sewaktu bermain go-kart. Bukan saya seorang, tetapi ada dalam tiga orang yang terlibat dalam kemalangan itu. Suami saya sampai gusi berdarah mungkin sebab banyak berlanggar.

“Tempat yang selalu kami pergi itu elok sahaja sebelum ini. Tetapi malam itu saya rasa lain, macam jalannya licin. Asyik berlanggar dinding and drift teruk. Taubat tak nak pergi situ selepas ini” katanya dalam hantaran itu.

Asyalliee juga sempat pengsan selepas kemalangan itu berlaku sebelum Eboy yang juga merupakan personaliti media sosial segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ahli perniagaan berusia 27 tahun itu bagaimanapun lega apabila ujian Penggantian Mesin Computed Tomography (CT Scan) dan Imbasan X-ray dijalankan ke atasnya tidak mengesan kecederaan dalaman.

“Jadi kesimpulannya, bukan keganasan rumahtangga ya. Disebabkan hentakkan kuat waktu kemalangan itu, saya pengsan dipercayai kerana mengalami konkusi. Suami saya terus bergegas bawa saya ke hospital.

“Sudah buat ujian CT Scan dan X-ray. Alhamdullilah, tiada apa-apa,” ulas Asyalliee lagi dalam hantaran sama agar tiada lagi salah faham yang timbul mengenai lebam di mukanya itu.

Baca juga: Peniaga dipuji tetap buka kedai masa banjir, belanja satu kampung nasi percuma