Hadapi isu kewangan, MYAirline gantung operasi bermula hari ini

Oleh MAISARAH AISYA

Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, 12 Oktober 2023.

ini adalah berikutan tekanan kewangan yang ketara dihadapi syarikat tersebut.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, syarikat tersebut memaklumkan penggantungan itu akan berterusan hingga ke satu tarikh yang bakal diumumkan nanti.

Jelasnya, keputusan itu terpaksa dibuat ekoran masalah kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung.

Selain itu perlu menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat itu.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.

“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai perkongsian dan pilihan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada alternatif selain mengambil keputusan ini.

“Kami memahami kesulitan yang mungkin timbul dan kami komited untuk membantu anda melalui situasi ini,” kata Ahli Lembaga Pengarah MYAirline dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan para penumpang yang terjejas untuk ke lapangan terbang bagi merancang semula perjalanan alternatif ke destinasi mereka.

“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan kami semua di MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.

“Kami mengulangi permohonan maaf yang setulus-tulusnya atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan sebarang kemas kini yang tersedia.

“Sila hubungi kami di [email protected], dan pasukan sokongan kami akan sedia untuk memberikan bantuan mereka,” ujarnya.

Baca juga: Oyen tumpahkan bahan kimia, 16 anggota bomba terpaksa dikejarkan ke makmal IPG