‘Hang pula pi jumpa, lepas tu senyap puas hati’, warganet perli pemimpin Pas jumpa Menteri Kewangan

Oleh ARIF ATAN

Warganet dilihat mentertawakan kenyataan Menteri Agama, Senator Idris Ahmad yang berkata dia sendiri telah berbincang dengan Menteri Kewangan berhubung rayuan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Reaksi orang ramai itu susulan trend pemimpin Pas sebelum ini yang berjumpa dengan pihak terbabit apabila wujud sesuatu isu tetapi kemudiannya dilihat tidak mendapat hasil yang sepatutnya.

“Dulu Tantawi pun pi jumpa Arul Kanda pasal 1MDB. Lepas tu senyap puas hati.

“Kemudian TITM pulak pi jumpa Azeez pasal TH. Pun sama senyap puas hati.

“Ni hang pi jumpa pulak. Takkan jadi apa,” kata pengguna Facebook, Ariff Kadir Al-Katami.

Sementara itu, Rozmi Mokhtar pula mempersoalkan kenyataan Idris pada Ogos tahun lalu yang mengenai tempoh lima hari sahaja kepada Pas untuk memerintah dan lihat apa perubahan yang mereka lakukan.

“Berubah apa Deris dah setahun dah ni. Kamu kata lima hari saja dan boleh lihat apa perubahan yang sudah Pas buat. Mana dia?” ujarnya.

Guru KAFA di Selangor dalam satu program tahun lalu. – Gambar hiasan

Dalam sidang media pada program Jualan Bergerak Bantu Rakyat di Surau Ahmadi, Sungai Petai di Bukit Gantang, Perak semalam, Idris memberitahu, dia sendiri telah berbincang dengan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung rayuan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru KAFA.

Naib Presiden Pas itu berkata dia telah bertemu dengan Tengku Zafrul bagi memaklumkan hasrat dan rayuan tersebut untuk pertimbangan selanjutnya.

Menurutnya, rayuan kepada Menteri Kewangan itu juga sebagai langkah membela nasib guru KAFA dan membantu kumpulan tersebut dalam apa juga cara.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilapor mengesahkan keputusan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari kepada guru KAFA seperti yang diumumkan pada Januari lalu, sebagai mematuhi saranan Kementerian Kewangan.

Ekoran itu, ada juga warganet yang mengingatkan Idris bahawa terdapat isu lebih penting yang patut diperjuangkan oleh menteri berkenaan terlebih dahulu.

“Patut bukan isu ni saja bawa bincang. Isu ni tak besar mana. Isu besar elaun guru KAFA masih lagi RM1,000.

“Gaji guru KAFA rendah daripada perjawatan paling rendah kerajaan. 10 tahun kerja pun, gaji masih RM1,000 saja,” ujarnya.

Baca juga ‘Semoga Kak Lah terus bimbing diri, Ustaz Idris kembali ke pangkal jalan’

Baca juga “Beri 5 hari sahaja untuk buat perubahan”, kata Idris Ahmad