Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengkritik tindakan kerajaan ekoran aduan pengguna tentang kenaikan harga ayam secara mendadak.
Ketika ini, harga runcit ayam di pasar bagi sekilogram mencecah RM10 dan RM10.30, selain dijangka meningkat secara berterusan yang mampu memberi tekanan kepada peniaga dan pengguna.
Salahuddin yang juga bekas menteri pertanian sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan itu mempersoalkan keprihatinan kerajaan di waktu rakyat sedang kesusahan.
“Di manakah keprihatinan kerajaan di waktu rakyat kesusahan?
“Harga ayam naik hampir sekali ganda daripada harga ayam ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan,” tulisnya di hantaran Facebooknya malam tadi.
Di beberapa negeri termasuk Terengganu, Pahang, Melaka termasuk Pulau Pinang merekodkan peningkatan harga runcit bagi sekilogram ayam.
Perkara itu meresahkan banyak pihak ekoran terpaksa membeli borong dengan harga tinggi dan menjualnya semula dengan harga yang tinggi.
Mengikut laporan media, penternak dan pengeluar memaklumkan kenaikan harga dedak, anak ayam dan sumber tenaga kerja asing menjadi punca kenaikan harga ayam berlaku.
Berikutan itu, harga ayam di beberapa lokasi seluruh negara dilaporkan naik sehingga melebihi RM10 sekilogram sejak beberapa hari lalu.
Pada April lalu, harga ayam dilaporkan meningkat sehingga enam kali setakat bulan itu.