“Hidup serba mencukupi”, Taufiq Hanafi tak mengaku dekati wanita untuk kikis harta

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama pelakon, Taufiq Hanafi tiba-tiba menjadi topik perbincangan hangat terutamanya di kalangan pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.

Mana tidaknya, nama Taufiq telah ‘dipetik’ oleh beberapa individu sejurus penerbitan artikel tular mengenai perwatakan seorang aktor yang gemar mengikis duit wanita.

Pada awalnya, pelakon yang berusia 32 tahun itu langsung tidak mengambil pusing mengenai artikel hiburan tersebut kerana berpendapat ia tiada kaitan dengan dirinya.

Namun begitu, Taufiq mula merasa tidak senang apabila orang ramai menyangka bahawa artikel itu ditulis mengenainya berdasarkan petunjuk yang diberikan penulis.

Tampil mempertahankan diri, penyandang watak Ustaz di dalam filem PASKAL The Movie itu menyangkal segala dakwaan yang mengaitkannya dengan artikel tersebut.

Membesar di dalam keluarga yang serba mencukupi, Taufiq Hanafi mengaku tiada keperluan untuk mengikis mana-mana wanita bagi mendapatkan harta, lapor Mstar.

“Saya ada baca sebuah artikel yang ditulis secara agak terperinci butirannya. Namun saya tak mahu ambil kisah kerana menganggap berita itu tentang artis luar negara.

“Tetapi apa yang buat saya rasa tak sedap apabila netizen secara terang-terangan memetik nama saya sebagai individu yang dimaksudkan (pelakon kikis harta wanita).

“Nak kikis apanya? Saya pun hidup dalam keluarga yang Alhamdulillah, semuanya serba mencukupi,” kata pelakon filem Malbatt: Misi Bakara itu memetik laporan Mstar.

Menerusi artikel berkenaan, seorang pelakon lelaki yang pernah muncul dalam filem kategori ketenteraan didakwa hanya mendekati wanita untuk mengikis harta mereka.

Tidak cukup dengan itu, harta milik bekas tunang kepada pelakon tersebut dikatakan turut dikikis sampai licin dan ditinggal (putus tunang) tanpa sebarang pengumuman.

Mengulas lanjut, Taufiq mendedahkan bahawa ikatan pertunangannya dengan Farah Azira sebelum ini berakhir dengan baik tanpa sebarang sengketa di antara mereka.

Tidak ada salah faham, pemilik nama sebenar Mohamad Taufik Mohd Hanafi itu turut mengakui masih kekal berhubung melalui telefon bersama bekas tunangnya.

Mahu membersihkan nama daripada spekulasi yang disifatkan sebagai fitnah, Taufiq tidak mahu keluarga dan juga kerjayanya terjejas akibat daripada kejadian ini.

“Kenapa saya nak kena buat macam itu (kikis duit). Saya ada keluarga yang boleh bantu sekiranya saya susah. Tuduhan itu tak manis sebab turut melibatkan mereka.

“Saya hanya mahu bersihkan nama saya. Tetapi kalau bukan nama saya yang dimaksudkan oleh gosip itu, Alhamdulillah.” Jelas pelakon kelahiran Johor itu.

Untuk rekod, Taufiq dan Farah melangsungkan majlis pertunangan pada 20 Februari tahun lalu sebelum hubungan mereka terkandas di tengah jalan pada awal tahun ini.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Ola Bola itu kemudian mula menjalinkan hubungan dengan personaliti TV3 dikenali sebagai Anim Ezati pada September lalu.

Baca juga: “Saya hanya ikut arahan”, lelaki ini tusuk dua batang paku pada buah zakar sendiri