Ibu bengang tak dapat MC untuk jaga anak sakit, ugut nak lapor doktor ke SISPAA

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian daripada seorang pegawai perubatan yang meluahkan kekesalan kerana dimarahi oleh ibu kepada pesakitnya telah mengundang perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, pegawai bergelar doktor itu mendakwa diugut oleh ibu terbabit untuk melaporkannya ke pihak atasan kerana tidak mendapat sijil cuti sakit (MC).

Difahamkan, wanita itu hadir ke pusat perubatan tempat doktor berkenaan bertugas untuk mendapatkan rawatan buat anaknya yang mengalami demam akibat jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

Wanita itu turut meminta doktor untuk mengeluarkan sijil MC buat dirinya sendiri kerana tidak dapat memohon cuti melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) bagi menjaga anaknya.

“Mak budak ugut nak laporkan aku kepada pihak atasan sebab kononnya kejam, tiada hati perut. Nanti nak lapor juga melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Anaknya masih bersekolah tadika.

“Mengalami demam URTI. Baiklah, aku boleh sahaja beri sijil MC untuk anak. Tetapi beri untuk pihak ibu buat apa? Alasannya sebab HRMIS sudah tutup untuk mohon cuti. Sekarang masih menanti surat SISPAA,” kesalnya.

Dalam perkongsian sama, doktor terbabit memaklumkan bahawa sijil MC tidak dapat dikeluarkan untuk ibu pesakit dan berharap wanita berkenaan berurusan dengan tempat kerjanya berhubung masalah cuti.

Doktor itu bagaimanapun menerima sahaja keputusan wanita terbabit sama ada mahu meneruskan niatnya untuk membuat laporan atau sebaliknya selain mengakui penat berhadapan dengan karenah sedemikian.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads memiliki pendapat masing-masing berhubung situasi tersebut terutamanya daripada sudut pandangan ibu bapa pesakit.

Mereka berharap doktor berkenaan memiliki budi bicara untuk memberikan sahaja sijil MC memandangkan ada tempat kerja yang merumitkan urusan permohonan cuti sehingga tidak dapat menjaga anak sakit.

Namun ramai juga pengguna yang berkerja di bidang perubatan menjelaskan bahawa adalah satu kesalahan untuk doktor mengeluarkan sijil MC kepada sang ibu kerana wanita terbabit bukanlah pesakit.

Sekadar info, HRMIS adalah platform disediakan untuk penjawat awam di Malaysia bagi melakukan pelbagai urusan secara atas talian termasuklah untuk memohon pelepasan cuti.

Baca juga: Hilang enam ahli keluarga serentak 2 tahun lalu, Abdur Rahman kini sah bergelar suami