Ibu Zayn Rayyan didapati bersalah, abai anak hingga membawa kepada kehilangan

Oleh MALAYSIADATELINE

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini memutuskan ibu kepada kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf bersalah di atas pertuduhan mengabaikan anaknya.

Keputusan dibuat oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Ismanira, 30, diakhir kes pembelaannya.

Mahkamah mendapati wanita itu melakukan pengabaian dengan membiarkan Zayn berjalan di belakangnya tanpa pengawasan yang akhirnya membawa kepada kehilangan kanak-kanak terbabit, lapor Malaysia Kini.

Ismanira kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun berkuat kuasa secara serta-merta hari ini selain dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM3,000 dan seorang penjamin.

Tertuduh turut diarahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan daripada penjara.

Permohonan peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi petang ini ditolak oleh hakim.

Hal ini berikutan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi membantah permohonan tersebut dengan alasan tiada keadaan khas atau luar biasa yang membenarkan penangguhan hukuman semantara menanti rayuan.

Terdahulu, mahkamah pada 21 Julai lalu memerintahkan Ismanira membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan pindaan, mereka sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan di antara 5 Disember, pukul 12 tengahari dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Disember 2023, jasad Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai sekitar pukul 10 malam oleh sekumpulan penduduk yang mencarinya secara sukarela kira-kira 200 meter dari blok tempat tinggalnya.

Mangsa yang ketika berusia enam tahun ditemui lebih 30 jam selepas dilaporkan hilang oleh ibunya dan kes diklasifikasikan kepada kes bunuh selepas bedah siasat menemui kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Baca juga: “Saya akui silap” – Pengguna media sosial mohon maaf selepas gambar edit PM tular