IKRAM gesa Speaker beri keutamaan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen

Oleh KIM SYAZIE

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menggesa agar Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi keutamaan untuk membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

Beliau berkata, cadangan agar Pilihan Raya Pecat adalah langkah terbaik untuk mencegah rasuah politik melalui amalan lompat parti yang mengakibatkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik.

“Cadangan-cadangan berkenaan merupakan langkah penting demi memulihkan amalan demokrasi dan memperkukuhkan institusi Parlimen yang sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan setelah lebih setahun negara dilanda krisis politik.

“IKRAM menggesa agar Yang Diertua Dewan Rakyat memberi pertimbangan sewajarnya dan mengutamakan usul RUU berkenaan untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pada bulan ini.

“Untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik, IKRAM menyokong usaha-usaha yang dapat memartabatkan institusi-institusi kenegaraan yang telah dibangunkan semenjak tertubuhnya negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berhasrat menghantar notis usul kepada Dewan Rakyat berhubung RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 pada sidang Parlimen September ini.

Beliau berkata ia sebagai titik permulaan kepada recall election yang merujuk kepada pemilihan semula seperti diamalkan oleh beberapa negara Komanwel lain.

Katanya, beliau akan menghantar notis usul itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU ahli yang bukan ahli kerajaan.