Ingat lagi kes enam beranak maut kemalangan? Abang sulung kongsi keadaan terkini satu-satunya adik yang terselamat

Oleh KIM SYAZIE

Abang sulung kepada satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas kemalangan yang meragut nyawa enam ahli keluarga mereka pada September lalu, memuat naik perkembangan terkini adiknya.

Menerusi video di TikTok, Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, berkongsi gelagat adiknya yang dilihat semakin sihat.

Apa yang mengharukan, adiknya Abdullah Amir Ruddin, 15, kini sudah boleh bertutur semula walaupun belum lancar sepenuhnya dan masih perlu dibantu.

Abdur Rahman turut berkongsi cerita mengenai janji temu dengan doktor yang merawat adiknya itu, dan perubahan positif kesihatan Abdullah yang beransur pulih.

“Semalam, ketika janji temu dengan doktor tekak, doktor kata awak dah boleh makan piza nanti. Wah, kemain dia suka… lepas itu naik saja ambulans, terus dia cakap: ‘duo’ (Abdullah) dah boleh makan, ‘duo’ nak KFC.’

“Kebetulan hari ini abang keluar, sempatlah lari juga belikan KFC… suka betul dia, makanlah puas-puas sampai gemuk,” tulis Abdur Rahman dalam hantaran yang turut mendapat perhatian ramai dengan lebih 40,000 tanda suka.

@rahmanlahhhhhhh

semalam appointment dgn doktor tekak lepastu doktor kata “awak dah bole makan pizza dah nanti” wah kemain dia suka…pastu naik je ambulans terus dia cakap “duo dh bole makan duo nak kfc”..kebetulan harini abang keluar sempat la lari jugak beli kan kfc untuk dia ni suka betul dia dpt kfc ye ha makan la puas puas ko smpai gemok😻🫶🏻

♬ Hal Hebat – Umimma Khusna

Abdullah terselamat dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang yang meragut nyawa enam ahli keluarganya, iaitu ibu, Noorahimah Noor Muhamad, 43; bapa, Amir Ruddin Ismail, 46; dan empat beradiknya, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; serta Muhammad Assyakrawi, 5.

Kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan menghantar Noorahimah yang bertugas di Sekolah Agama Kemedak di Segamat.

Sebelum ini, Abdullah dilaporkan kritikal sejak hari kemalangan, namun mula menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Dalam video sama, Abdur Rahman turut meminta adiknya yang merupakan pelajar di Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir, supaya memohon orang ramai mendoakan kesihatannya kembali pulih dan mampu meneruskan hafazan al-Quran.

Selain itu, Abdur Rahman memuat naik satu lagi rakaman video yang memaparkan Abdullah sedang bernasyid lagu ‘Rindu Madinah’ dengan alunan darbuka, dengan diiringi rakan dan keluarganya.

Baca juga: Jiran kerap batuk di kaki lima, pasangan kekasih tak puas hati, nekad letupkan bom buatan sendiri