Ingatkan gabus biasa, rupanya ‘harta laut’? Nelayan jumpa ketulan misteri didakwa muntah ikan paus

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sangka, rutin biasa seorang nelayan di Terengganu bertukar menjadi detik luar jangka apabila dia mendakwa menemui sesuatu yang sangat jarang ditemui iaitu muntah ikan paus.

Seorang nelayan, Mohd Raffi Yusoff, berkongsi detik mengejutkan apabila menemui seketul bahan seakan lilin ketika keluar mencandat sotong lapor Harian Metro.

Penemuan luar biasa itu menimbulkan tanda tanya, dan jika benar ia adalah ambergris (muntah ikan paus), nilainya boleh mencecah harga yang sangat tinggi.

Jelas lelaki berusia 58 tahun itu, dia menemui ketulan seberat kira-kira 20 kilogram itu ketika keluar mencandat sotong, Khamis lalu.

“Bila bakar, ia mengeluarkan bau yang sangat wangi. Dalam perjalanan itu, saya melihat objek berwarna putih itu dalam keadaan tenggelam-timbul.

“Pada mulanya saya menyangka objek itu adalah gabus pelampung. Saya hampirinya dan mendapati ia berupa ketulan lilin yang berat,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dengan menggunakan penyauk, Mohd Raffi memaklum dia memotong sebahagian objek sebelum berjaya menariknya ke atas.

“Ia sangat berat. Bila disentuh ia agak lembut dan berbau harum. Saya hanya ambil sebahagian anggaran dalam lima kilogram sementara selebihnya dihanyutkan air.

“Hati saya tertanya-tanya juga mengenai objek itu. Saya bimbang juga kerana bersendirian di atas bot,” katanya.

Selepas pulang ke rumah, dia berkongsi penemuan tersebut dengan isterinya, Zuliza Harun. Rasa ingin tahu mendorong mereka untuk membuat carian di Google bagi mengenal pasti apakah sebenarnya objek yang ditemui itu.

“Sebaik pulang mencandat kira-kira jam 11 malam, saya menunjukkannya kepada isteri, Zuliza Harun, 39, sebelum isteri membuat carian berupa objek itu di internet.

“Hasil daripada pencarian itu, kami dapati ia mungkin muntah ikan paus. Saya ambil dan bakar sedikit ketulan itu ia dan mengeluarkan bau yang wangi,” katanya.

Katanya, dia bersetuju untuk menghantar objek terbabit kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menjalani ujian ketulenan dan kesahihannya.

Malah dia bersedia menjual objek berkenaan kepada maan-mana pihak yang berminat seandainya ia adalah muntah ikan paus.

Baca juga: Terkedu tengok RM300K duit simpanan warga asing dalam bank, rasa macam merempat pula di negara sendiri