Insiden kanak-kanak melecur, TNB akan tanggung segala kos perubatan

Oleh MAISARAH AISYA

Tular baru-baru ini video kanak-kanak melecur selepas cuba mengambil bola yang terpelanting masuk ke dalam bilik janakuasa elektrik.

Susulan itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyalurkan segala bantuan termasuk menanggung kos rawatan dan perubatan kepada kanak-kanak tersebut.

Kejadian tersebut berlaku di pencawang elektrik (PE) di Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, dan kanak-kanak tersebut dipercayai terkena percikan arka.

Menurut Bernama, TNB, dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa.

Malah akan memastikan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu mendapat rawatan yang terbaik.

Tambah kenyataan tersebut, wakil pengurusan TNB telah pun menyantuni ibu bapa kanak-kanak tersebut di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

“Mangsa yang melecur anggota badan sedang dirawat di bilik isolasi, Unit Rawatan Rapi (ICU), di hospital berkenaan.

“Dalam lawatan itu, Head of Zone Asset, TNB Pulau Pinang, Ir Anan Eyam turut menyampaikan bantuan pendahuluan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian itu, TNB bekerjasama dengan pihak polis dan Suruhanjaya Tenaga bagi membantu siasatan.

TNB sendiri telah menubuhkan pasukan siasatan dalaman selaras dasar operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada keselamatan.

Baca juga: Patutlah susah kurus, ini 7 makanan paling menggemukkan di Malaysia – “Nombor 7 paling tak sangka!”