Lelaki Kelantan enggan bercerai meski telah dimadukan, akui masih sayangkan isteri

Oleh WAN SITI AMINAH

Peniaga asal Kelantan yang mendakwa ‘dimadukan’ isteri kembali menjadi perhatian setelah membuat satu pengakuan mengejutkan baru-baru ini.

Mana tidaknya, lelaki berusia 47 tahun itu mendedahkan bahawa dirinya tidak akan menceraikan isteri meskipun wanita tersebut telah berkahwin dengan lelaki lain.

Perkara tersebut dimaklumkan pemilik nama Rahaman Mohamed Jaafar itu selepas mahkamah memutuskan dia dan isteri keduanya itu masih kekal sebagai suami isteri.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Ahmad Hariri Mohd Saat selepas Rahaman membuat sumpah penafian di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, semalam.

Sumpah penafian dibuat bagi membuktikan dirinya tidak pernah menceraikan isterinya dengan talak tiga sebagaimana yang didakwa sebelum ini, lapor Berita Harian.

“Alhamdulillah saya berani bersumpah kerana saya tidak pernah melafazkan cerai talak tiga sebagaimana yang didakwa isteri.

“Apa yang boleh saya katakan, hingga kini saya masih sayangkan isteri kedua saya dengan apa yang dia lakukan terhadap saya sehingga berkahwin dengan lelaki lain.

“Walaupun isteri ada memfailkan cerai, saya tidak akan melepaskannya kerana sayang saya terhadapnya masih kuat,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Rahaman sebelum ini menjadi tumpuan ramai apabila mendakwa dirinya ‘dimadukan’ selepas isterinya menikah dengan lelaki lain di Terengganu pada April lalu.

Menurut Rahaman, wanita berusia 32 tahun yang dinikahinya pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand itu tiba-tiba keluar daripada rumah dan menghilangkan diri.

Selepas empat bulan menghilangkan diri, Rahaman kemudian menerima khabar mengenai perkahwinan terbaharu isterinya menerusi media sosial pada April lalu.

Rahaman kemudian memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isteri dengan suami kedua dan mereka tidak dibenarkan tinggal bersama sehingga kes selesai dibicara.

Rahaman percaya pejabat agama mengeluarkan kebenaran menikah kepada isterinya kerana perkahwinan mereka di luar negara masih dalam proses pengesahan.

Dalam perkembangan terbaharu, mahkamah menetapkan tarikh 22 Oktober ini bagi sebutan permohonan cerai yang difailkan oleh isteri Rahaman, Wan Nor Shakirin.

“Menerusi lafaz sumpah defendan, maka defendan dan plaintif masih kekal sebagai suami isteri melainkan ada bukti baharu yang dikemukakan plaintif.” Jelas Hakim Ahmad Hariri.

Baca juga: Isteri diam-diam kahwin lain, lelaki Kelantan terkilan diri dimadukan – “Kami tak pernah bercerai”