Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil perhatian serius berhubung dakwaan kewujudan ramuan berasaskan babi dalam snek popular dari Korea Selatan yang dilaporkan beberapa akhbar utama pada 27 Februari 2026.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa produk berkenaan tidak pernah dipersijilkan halal oleh pihaknya.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee memaklumkan produk terbabit merupakan barangan import dari Korea Selatan.
Produk tersebut juga tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf JAKIM pada label pembungkusan.
Sehubungan itu, JAKIM menasihatkan orang ramai agar sentiasa memilih produk yang telah dipersijilkan halal sama ada oleh JAKIM atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf.
Pengguna juga digalakkan menyemak label serta kandungan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian sebagai langkah berhati-hati.
Dalam masa sama, JAKIM turut menggesa orang ramai supaya membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak halal bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Baca juga: Hargai jasa guru, pelajar ‘kelas belakang’ bawa hadiah kejutan motosikal di hari bersara