Jalin hubungan dengan jejaka 23 tahun, penyanyi berhenti beri duit bulanan pada ibu

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang penyanyi terkenal telah menjadi topik perbincangan hangat baru-baru ini selepas didakwa berhenti memberikan duit bulanan kepada ibunya.

Difahamkan, keputusan tersebut dibuat selepas ibunya yang sudah menganjak usia 60 tahun itu bertindak menjalinkan hubungan dengan jejaka berumur 23 tahun.

Mengejutkan, perkara itu dibongkarkan oleh kakak penyanyi terkenal dari Indonesia, Virgoun iaitu Febby Carol menerusi satu hantaran di Instastory miliknya, semalam.

Dedah Febby, tindakan ibu mereka itu bukan sahaja menjadi punca Virgoun berhenti memberikan wang, malah telah menimbulkan perspektif negatif kepada keluarganya.

Oleh yang demikian, Febby meminta kekasih ibunya yang dikenali sebagai Jordan Ali untuk membuat satu permohonan maaf bagi membersihkan nama keluarga mereka.

Febby yang menentang hubungan itu berpendapat bahawa Jordan hanya mahu menumpang populariti diraih teman wanitanya, Eva Manurung sebagai ibu Virgoun.

“Jangan berdiam, boleh sahaja meminta maaf. Ini keluarga dari Sabang sampai ke Merauke sudah meriah (berbincang mengenai hubungan) di kumpulan (Whatsapp).

“Jangan main gila dengan aku. Ini aku sebut terus nama kau, Jordan Ali. Biar jadi semakin popular seperti yang kau inginkan.

“Virgoun sampai berhenti serahkan duit bulanan kepada ibuku disebabkan kau. Sanggupkah kau berikan ibu lima juta rupiah setiap bulan?” Tulis wanita berkenaan.

Dalam hantaran yang sama, Febby turut mencadangkan agar Jordan memutuskan hubungan dengan Eva dan mencari wanita lain yang lebih kaya daripada ibunya.

“Jika mahu mencari ‘penaja’, cari yang betul-betul kaya. Jangan nenek-nenek. Kalau bukan untuk menumpang populariti, apa namanya?” Soal Febby kepada Jordan.

Dilahirkan di Bekasi, Jawa Barat, pemilik nama sebenar Virgoun Putra Tambunan itu merupakan seorang penyanyi, penulis lirik dan pelakon yang terkenal di Indonesia.

Virgoun bagaimanapun mula dihimpit kontroversi selepas didakwa berlaku curang dengan isterinya dan menghabiskan duit lebih RM59,000 untuk melanggan pelacur.

Susulan pendedahan yang dilakukan sendiri oleh isterinya, Inara Rusli, Virgoun memutuskan untuk memfailkan penceraian terhadap wanita itu dan menuntut hak penjagaan anak.

Sebagai info, penyanyi yang berusia 37 tahun itu mula meraih populariti di Malaysia menerusi lagu ciptaannya, Surat Cinta Untuk Starla.

Baca juga: Caprice tunjuk resit, dah bayarkan denda RM1,000 pemuda conteng tembok kedutaan AS