Jarak umur 26 tahun tak jadi penghalang, lelaki ini nikahi cikgu sendiri

Oleh WAN SITI AMINAH

Cinta tak mengenal usia, seorang lelaki berusia 22 tahun tidak pernah menyangka bakal terpikat dengan gurunya sendiri.

Mempunyai jarak umur sebanyak 26 tahun, Muhammad Danial Ahmad Ali mula mengenali isterinya sewaktu Tingkatan Tiga iaitu pada tahun 2016.

Ditugaskan untuk mengajar subjek Bahasa Melayu di kelas Danial, Jamilah Mohd sempat terputus hubungan apabila suaminya memasuki Tingkatan Empat.

Namun segala-galanya berubah apabila Jamilah mengirim ucapan ulang tahun kelahiran sewaktu Danial berada di Tingkatan Lima.

Sudah suratan takdir, jejaka itu mula mengenali hati budi gurunya sehingga timbul perasaan sayang lalu memberanikan diri meluahkannya.

“Isteri tolak dengan alasan statusnya sebagai guru. Akan tetapi, saya enggan berputus asa dan mencari jalan menghubungi dan menghantar kiriman WhatsApp.

“Satu hari, dia tidak mengangkat panggilan dan membalas mesej. Tindakannya yang mendiamkan diri itu membuatkan saya nekad ke kawasan perumahannya.

“Walaupun tidak tahu lokasi yang tepat, ditakdirkan saya jumpa rumahnya. Kemudian terus datang serta berterus terang dengannya,” katanya.

Tangkap layar hantaran Danial yang tular di laman Tiktok namun kini telah dipadam

Tidak mengalah setelah ditolak berkali-kali, akhirnya Jamilah membuka hati dan mereka berkahwin pada November 2021 dengan restu keluarga.

Pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini, Jamilah menyifatkan jodohnya bersama suami yang lebih muda itu telah ditakdirkan oleh Allah SWT.

Baca juga: Siapa sangka wang kertas RM50 ini bernilai RM70,800, ini kisahnya