Jasad wanita ditemui terdampar di tebing sungai, Toyota Hilux dihanyutkan kepala air

Oleh MALAYSIADATELINE

Jasad seorang wanita warga Indonesia ditemui terdampar selepas trak pikap dinaiki bersama majikan dan isterinya dihanyutkan arus deras kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang pada Khamis lalu.

Difahamkan, mereka ketika itu berada dalam perjalanan ke sebuah ladang kelapa sawit sebelum arus deras kepala air sungai telah menyebabkan Toyota Hilux dinaiki hanyut sewaktu kenderaan tersebut melalui sebuah jambatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, siasatan mendapati mangsa menaiki trak pikap itu bersama seorang lelaki dan wanita warganegara Thailand sekitar jam 8.30 malam pada Khamis lalu.

Lelaki dan wanita terbabit adalah pasangan suami isteri yang juga merupakan majikan mangsa namun mereka berdua berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap trak pikap, lapor Kosmo.

Malangnya mangsa, Yeni Susilowati yang berusia 39 tahun itu terperangkap dan dihanyutkan arus sebelum dijumpai terdampar oleh orang awam di tebing sungai pada sekitar jam 4.15 pagi kelmarin.

“Mangsa hanyut dibawa arus. Orang awam menjumpai mangsa yang sudah meninggal dunia di tebing sungai lebih tujuh jam kemudian kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Kosmo.

Susulan penemuan itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang membawa wanita terbabit ke hospital dan petugas kesihatan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Choon Foo juga memaklumkan bahawa hasil bedah siasat ke atas mangsa dipercayai maut akibat lemas itu mendapati punca kematiannya disebabkan oleh saluran pernafasan yang tersumbat dengan lumpur dan air.

Baca juga: Disengat obor-obor? Hentikan mitos air kencing, ini langkah yang betul..