Jemaah haji Malaysia meninggal dunia di dataran Masjidil Haram

Oleh ROSLAN ZAMAN

Seorang jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika berada di dataran Masjidil Haram di Mekah.

Mangsa yang merupakan lelaki berusia 65 tahun dari Pahang itu dipercayai rebah secara tiba-tiba di Kawasan masjidil haram ketika sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat sebelum tidak sedarkan diri.

Pasukan perubatan yang berada di lokasi segera memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Jiwar Jabal Omar untuk rawatan lanjut.

“Rawatan awal termasuk bantuan pernafasan diberikan di lokasi kejadian, sebelum beliau dibawa ke Hospital Jiwar Jabal Omar untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, jemaah berkenaan disahkan meninggal dunia di pusat rawatan berkenaan,” kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Allahyarham hadir ke Tanah Suci bersama isterinya bagi menunaikan ibadah haji.

Pihak Lembaga Tabung Haji (TH) telah menguruskan segala urusan pengebumian, termasuk menyolatkan jenazah di Masjidil Haram selepas solat Maghrib sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Sharaea di Mekah.

Selain itu, kebajikan isteri Allahyarham turut diberi perhatian dengan bantuan sokongan daripada petugas, kaunselor serta pembimbing ibadah haji.

TH juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman