Jemaah hampir terpedaya, konon nak kirim ‘ubat’ ke Makkah rupanya barang terlarang!

Oleh MALAYSIADATELINE

Penerbangan jemaah Malaysia secara berperingkat ke Madinah dan Makkah dengan kumpulan pertama telah berlepas pada 18 April lalu menandakan musim haji bagi tahun ini (1447H/2026M) sudah bermula.

Namun di tengah keterujaan orang ramai berkongsikan khabar gembira apabila turut menerima panggilan haji, seorang wanita terpanggil memberi peringatan agar mereka tidak lupa mengambil langkah berjaga-jaga.

Hal ini kerana wanita terbabit hampir menjadi mangsa individu yang cuba mengambil kesempatan sehingga membuatkan dirinya dan suami mungkin tidak dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu.

Menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform Facebook, wanita itu memaklumkan bahawa dirinya dan suami merupakan jemaah daripada Perak yang berangkat menunaikan haji bagi musim 1446H.

“Semasa kursus haji, akan wujud kumpulan sembang di aplikasi Whatsapp. Situlah bermula kisah ini. Kami jemaah penerbangan hampir hujung. Seminggu nak terbang, ada seorang hamba Allah ini sudah berada di Makkah mohon bantuan.

“Kepada sesiapa yang belum berangkat, minta tolong membawa ubatnya yang tertinggal. Dengan rasa simpati, kami bersetuju membantu. Berjanji bertemu dengan saudaranya di Ipoh. Barang diterima. Mujurlah suami saya ada sedikit curiga.

“Kerana bungkusan tersebut dibungkus dengan sangat rapi seperti dilarang membuka. Pengalaman suami saya yang banyak ke luar negara sebelum ini, buatkan beliau lebih berhati-hati untuk urusan kastam airport,” katanya.

Pasangan suami isteri itu kemudian tergerak hati untuk membuka juga bungkusan berkenaan dan alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati barang yang kononnya mahu dikirimkan bukanlah seperti disangka.

Mereka meluahkan lafaz syukur kerana diberikan ilham oleh Ilahi untuk mengambil tindakan bagi menjauhkan musibah yang mungkin lebih besar selain daripada kegagalan rancangan untuk menunaikan ibadah haji.

“Kebetulannya, ada dua orang doktor pakar bertamu ke rumah malam itu. Alangkah terkejutnya kami apabila mendapati, ia bukan sekadar ubat biasa. Dikirim juga kotak rokok dan pil yang memerlukan surat doktor jika mahu melepasi kawalan airport.

“Tak dapat kami bayangkan sekiranya semua itu terbongkar di airport. Apa agaknya takdir kami pada waktu itu. Untuk jemaah haji 1447H dan seterusnya, berhati-hati. Barang yang tertinggal jangan risau, boleh dibeli di Makkah dan Madinah.

“Ubat boleh minta di klinik Tabung Haji. Jika nak tolong juga, pastikan buka bungkusan dan diperiksa dahulu. Tolong sebarkan kisah kami untuk peringatan semua. Selamat menunaikan perjalanan ibadah haji. Percayalah, semuanya perjalanan yang sangat indah, mencabar dan penuh makna.” Ujarnya.

Perkongsian itu dibuat oleh jemaah terbabit menerusi hantaran dimuat naik di Kumpulan Facebook, Jemaah Haji Malaysia 1447H/2026M sebagai peringatan untuk orang ramai lebih berhati-hati apabila berbuat baik.

Baca juga: Lelaki terkejut makan di restoran tapi kena caj pinggan, sudu dan meja sekali