Majlis Penasihat Pakar (MPP) Parti Amanah Negara merasa amat kesal apabila penganjur
Forum Ekonomi Cina Sedunia (WCEF) telah menjemput dan memberi tempat penghormatan kepada Najib Razak untuk memberi ucaptama dan seterusnya melancarkan forum tersebut pada 27 Disember lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang berkata, pihaknya menegaskan tindakan WCEF itu dengan sengaja membelakangkan prinsip kedaulatan undang-undang atau siyadatul hukmi (ketuanan undang-undang).
Lebih berat lagi, jelasnya, penganjur tidak menghormati kedudukan dan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Malaysia yang telah sebulat suara mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan yang berasaskan perbuatan berunsur rasuah dan menjatuhkan hukuman setimpal.
“Walaupun sabitan dan hukuman telah digantung oleh Mahkamah Rayuan untuk menanti rayuan ke Mahkamah Persekutuan, ini tidak memadamkan hakikat sabitan dan hukuman mahkamah tersebut.
“Demi menghormati dan mengagungkan prinsip integriti dalam urus tadbir negara yang dalam hubungan ini seharusnya melibatkan jua tindakan-tindakan mana-mana pihak swasta yang membawa kesan pada persepsi buruk terhadap negara, kami amat gusar dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang disuarakan melalui pengerusi WCEF, Cheah Chyuan Yong.
“Semasa menjawab soalan pemberita tentang isu integriti dalam hubungan ini, beliau telah menjawab secara sambil lewa bahawa “integrity is not part of the Forum” (integriti bukan sebahagian Forum ini),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Najib dalam ucaptama beliau pada Forum Ekonomi China Sedunia 2021 anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) antara lain menggesa kerjasama peringkat antarabangsa diadakan bagi mengawal inflasi harga makanan global.
Dalam forum berlangsung di Sheraton Petaling Jaya Hotel, Selangor itu, Ahli Parlimen Pekan itu turut menyatakan tidak penting jenis peralatan makanan yang digunakan oleh orang masyarakat Cina di Malaysia sebagai menjawab analogi sepit oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kehadiran Najib, 68, dalam forum itu hampir tiga minggu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
Panel hakim mendapati keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib adalah betul dan tidak terkhilaf.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad yang juga Penasihat Umum AMANAH menegaskan pihak penganjur harus akur dengan kesan buruk terhadap imej negara apabila sesuatu yang tidak kena pada tempatnya dipromosikan sekalipun dalam sebuah forum ekonomi.
Hal ini disebabkan, katanya, wibawa Malaysia dan pandangan antarabangsa terhadap negara ini akan terpalit ketika negara menghadapi cabaran-cabaran besar.
“Kami menuntut pihak penganjur memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan memberi alasan-alasan yang munasabah dan tidak berdolak-dalik untuk meyakinkan kami selaku rakyat Malaysia bahawa jemputan mereka terhadap Najib Razak tidak langsung melibatkan isu integriti negara,” tambahnya lagi.