Krisis tenaga global yang berlaku susulan konflik Asia Barat ketika ini memberi impak cukup besar kepada dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkena tempias.
Antara masalah yang timbul akibat daripada krisis ini sudah tentulah kenaikan kos bahan api tidak bersubsidi sehingga segelintir pihak merasa cukup terbeban lalu menyalahkan kerajaan.
Mereka juga antaranya mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ‘turun’ atau meletakkan jawatan dengan segera sebagai pemimpin nombor satu negara itu.
Namun susulan desakan itu hangat diperkatakan di platform media sosial, timbul pula persoalan mengenai pemimpin yang layak menggantikan Anwar untuk mendepani krisis global ini.
Perkongsian seorang individu kemudian berjaya mengundang perhatian ramai susulan memberi ulasam ringkas mengenai prestasi kepimpinan Anwar Ibrahim setakat ini.
Menerusi hantaran tular dimuat naik di platform Threads itu, wanita dikenali sebagai Noreen Nadia menyifatkan prestasi Anwar masih belum boleh ditandingi pemimpin lain.
“Sejujurnya, saya rasa tiada sesiapa yang boleh menandingi Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekarang,” katanya berkongsi pendapat peribadi melalui akaun Threads miliknya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu pula mendapati rata-rata pengguna Threads turut bersetuju dengan pandangan wanita berkenaan bahawa belum ada calon yang disifatkan layak menggantikan Anwar.
Hal ini kerana kerajaan kepimpinan beliau dilihat berusaha untuk membendung masalah ekonomi selain berjaya mengekalkan prestasi mata wang Ringgit Malaysia dan kedudukan pasport yang tinggi hasil hubungan baik diplomatik dunia.
“Dengan krisis dunia yang berpunca dari Amerika Syarikat. Lihat bagaimana kerajaan Madani cuba membendung masalah ekonomi dan rakyat kita. kerajaan ini perlu dikekalkan,” kata seorang pengguna.
“Betul. Mungkin sebab dia antara pemimpin yang ‘boleh tahan’ (prestasi) jika dibandingkan dengan lain. Bukan sebab dia bagus. Tetapi disebabkan calon (Perdana Menteri) yang lain itu, lagi teruk daripada dia.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: “Depan mata subsidi kena rompak” – Isu warga asing beli minyak paket kembali hangat diperkatakan