Tular sebelum ini pendedahan mengejutkan mengenai perbuatan tidak bermoral seorang guru lelaki terhadap murid perempuan bawah umur, sehingga mencetuskan kemarahan warganet.
Aktivis sosial terkenal dan juga bekas guru Mohd Fadli Salleh turut memuat naik perbualan berkaitan perbuatan jijik, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak bukti.
Terbaharu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan segera berhubung isu tersebut.
Dua orang guru terbabit telah dikeluarkan dari institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai langkah awal sementara siasatan lanjut dijalankan.
Ini adalah susulan dakwaan salah laku seksual yang tular di media sosial lapor Sinar Harian.
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, JPN Kedah memaklumkan kedua-dua kes adalah berasingan dan kini sedang dalam siasatan pihak jabatan.
“JPN Kedah mengambil serius dakwaan salah laku seksual melibatkan dua orang guru di negeri ini seperti yang tular di media sosial.
“Tindakan telah diambil untuk mengeluarkan guru terlibat dari institusi pendidikan KPM hingga siasatan selesai,” menurut kenyataan tersebut.
JPN Kedah turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan salah laku seksual dalam kalangan warga pendidik.
Pihak jabatan itu juga memberi jaminan akan terus memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh komuniti sekolah sentiasa menjadi keutamaan.
Baca juga: Fadli Salleh dedah kes guru didakwa ‘grooming’ murid 15 tahun, kongsi bukti perbualan