Juruteknik didakwa bunuh penunggang motosikal, positif dadah dan alkohol

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal dalam kejadian kemalangan jalan raya, Ahad lalu.

Tertuduh, R. Saktygaanapathy, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Khartiyayini lapor Kosmo! Online.

Namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, kira-kira pukul 3.30 petang pada hari kejadian.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 serta perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi penyerahan dokumen termasuk laporan bedah siasat, patologi dan forensik.

Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala prosiding turut dihadiri isteri mangsa, Nurul Nadia Abdul Majid, 32, yang diwakili peguam pemerhati.

Tular sebelum ini video seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz yang maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta.

Baca juga: “Saya nak nyawa dibalas nyawa” – Isteri mangsa rempuh pemandu mabuk tuntut keadilan