Prestasi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendapat perhatian ramai pihak apabila dilihat banyak turun padang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.
Tindakan pantas Setiausaha Agung DAP itu dalam memastikan sistem pengangkutan di negara ini berjalan dengan lancar wajar diberi pujian.
Namun begitu, seorang bekas pengamal media yang dikenali sebagai Hazri (@hazrey) menyoalkan kemana perginya mereka yang lebih bertanggungjawab mengenai hal ini seperti mereka dari tahap pentadbir, agensi dan sebagainya.
Menurutnya, mereka yang terbabit tidak seharusnya menunggu perintah atau perhatian dari menteri untuk bertindak bagi menangani masalah yang dihadapi rakyat.
Saban hari, ada sahaja kegusaran masyarakat yang diluahkan sama ada di media sosial ataupun di kaca televisyen, namun ianya hanya dipandang sepi sehingga mendapat perhatian ahli politik atau menteri.
Hal ini amat mengecewakan kerana dengan gaji yang diperolehi, pentadbir seharusnya menjalankan amanah dan kewajipan untuk memperbaiki sebarang kerosakan dan kelemahan jabatan pimpinan mereka.
“Ini akan menjadi bebenang yang panjang. Ramai puji bila menteri turun padang dan memeriksa semua fasiliti yang tidak beroperasi dan rosak. Contoh seperti Anthony Loke turun padang. Bagus? Sangat bagus. Tetapi kenapa selama ini agensi terbabit tak boleh buat?
“Saya bukanlah penggemar kisah menteri turun padang ini kerana jika pentadbir efisien, perlu ke ‘spot check’ ini semua? Contoh eskalator bertahun rosak, mana CEO dan pentadbir semua? Padahal banyak foto di media sosial eskalator rosak, mereka buat apa selama tu,” soalnya.
Hazri juga hairan setelah masalah ditangani, mengapa tiada pihak yang dipertanggungjawabkan atas kegagalan yang dialami agar masalah tersebut tidak lagi berulang.
Rata-rata rakyat Malaysia turut bersetuju dengan pandangan Hazri dan menuntut agar pemimpin yang dipilih perlulah datang dari mereka yang menjalankan kerja dengan baik.
“Bila menteri nak lalu, baru turap jalan. Bila menteri sampai, cakap semuanya elok. Bawa menteri lawat pun tempat yang elok je. Entah-entah menteri tidak tahu pun masalah yang ada. Bila ada aduan rakyat yang tular, baru menggelabah semuanya,” kata Mirul Amir
“Ada pepatah, ikan busuk bermula dari kepala. Kalau kepalanya asyik makan gaji buta, yang bawah pun buatlah kerja ala kadar. Itu perlunya pemimpin yang buat kerja, yang bawah akan jadi lebih cergas,” kongsi pengguna lain.
Baca juga: Henti monopoli Touch n’ Go, Mutalib mahu PM Anwar Ibrahim campur tangan