Kanak-kanak perempuan 3 tahun positif dadah, polis tahan ‘influencer’ untuk siasatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang disahkan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja kini menjadi perhatian apabila seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan lelaki berusia 39 tahun itu merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak terbabit lapor Harian Metro.

Beliau berkata, suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 16 April lalu dan tempoh reman tersebut disambung lima hari lagi sehingga 27 April bagi melengkapkan siasatan kes.

“Pada 14 April, kira-kira 5 petang seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka telah menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar dan mendapati keputusan ujian saringan air kencing mangsa positif tetrahydrocannabinol.

“Ibu mangsa memaklumkan kepada pegawai perubatan berkenaan bahawa mangsa diambil dari rumah pengasuh di Sungai Putat.

“Pada 11 April mangsa telah diberikan bantuan rawatan pernafasan melalui tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka,” katanyaseperti dipetik Harian Metro.

Susulan kejadian tersebut, beliau memaklumkan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, telah membuat tangkapan ke atas suspek kira-kira 9.30 malam pada 15 April

Suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tambah beliau, semakan rekod lampau mendapati suspek tiada rekod jenayah manakala ujian saringan air kencing ke atasnya juga didapati negatif.

Dalam masa sama, kanak-kanak perempuan itu telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumahnya.