Akta Anti Lompat Parti disaran untuk diwujudkan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi mengekang perilaku jelek ahli politik yang boleh mengkhianat mandat rakyat sekali lagi semasa pilihanraya dan memudaratkan kestabilan politik negara.
Anggota Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, penggubalan Akta Anti Lompat Parti ini sama sekali tidak bercanggah atau bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kebebasan seseorang untuk berpersatuan.
Rasionalnya ialah kerana undang-undang seharusnya berperanan untuk melindungi hak majoriti rakyat secara keseluruhan dan bukannya untuk mempertahankan kebebasan asasi individu atau parti politik tertentu yang mempunyai kepentingan politik sempit.
“Malah, hak kebebasan asasi yang dijamin di bawah Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan bukanlah bersifat mutlak, tetapi di bawah Perkara 10(2)(c), Parlimen boleh melalui kuatkuasa undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu demi kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral.
“Dan ini termasuklah menghormati mandat dan pilihan yang dibuat rakyat melalui proses pilihanraya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KANUN berkata, sekiranya mereka yang dipilih dalam pilihanraya dengan sewenang-wenangnya mengubah pendirian atau melompat parti atau kumpulan yang lain dengan dijanjikan tawaran atau habuan tertentu, itu sudah pasti akan mengikis kepercayaan rakyat ke atas proses demokrasi yang sekian lama diamalkan di negara ini.
Jelasnya, jika hal ini tidak dibendung, dibimbangi rakyat akan memilih cara lain yang boleh memudaratkan keselamatan negara akibat hilangnya kepercayaan terhadap proses pilihanraya lantaran sikap segelintir wakil-wakil rakyat yang melompat parti.
“Apapun mekanisme yang akan dicadangkan nanti, KANUN berharap agar Akta Anti Lompat Parti ini dapat dibentang dengan segera dan disokong sepenuhnya oleh Ahli-ahli Parlimen di pihak kerajaan dan pembangkang serta dikuatkuasakan sebelum PRU15 yang akan datang,” katanya lagi