Umum tahu kenderaan dengan nombor plat pendaftaran negara lain tidak dibenarkan mengisi minyak RON95 di Malaysia kerana bahan api tersebut disubsidi khusus untuk rakyat tempatan.
Larangan ini bertujuan mengelakkan ketirisan subsidi serta memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan oleh warganegara Malaysia sahaja.
Menerusi platform Threads, Mohammad Ilmi memuat naik sebuah video yang mempersoalkan tindakan pemilik kenderaan bernombor plat Singapura yang didakwa mengisi minyak RON95.
Kenderaan berkenaan turut dilihat menutup dua huruf pada nombor plat menggunakan pita pelekat berwarna hitam, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai niat sebenar pemilik kenderaan tersebut.
“Taktik baru ke,” ujarnya di Threads.
Terlihat dalam video, lelaki dan wanita yang menaiki kenderaan berkenaan menafikan mereka orang Singapura serta menegaskan ada kad pengenalan (IC) Malaysia meskipun tidak menunjukkan ia.
Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan alasan diberikan pasangan tersebut kerana nombor plat tersebut jelas berasal dari Singapura.
“Maaf, mohon bantu beri pencerahan. Sekarang ini kan sudah guna sistem yang perlu tunjuk IC, jadi kenapa isu ini masih berlaku? Mohon penjelasan.
“Bukti jelas. Polis Malaysia boleh terus saman sahaja. Biar masuk lepas, tetapi bila nak keluar perlu selesaikan saman dahulu. Bagi saman banyak sikit, biar rasa sampai ke tulang hitam, baru seram.
“Kami tidak kisah sama ada anda rakyat Malaysia atau Singapura. Yang penting, jika cukai jalan kenderaan anda tidak dibayar di Malaysia, sila letak semula muncung pam minyak berwarna kuning itu.
“Sebab itulah apabila ada yang kata ‘Singapura negara kaya’, bagi saya ia tidak masuk akal,” antara komen pengguna Threads.
Baca juga: Khairul Aming buat majlis doa selamat, netizen meremang dengar anak tahfiz azan di setiap penjuru