Kerajaan dilihat lemah berhadapan dengan Omicron

Oleh NASUHA RAHMAN

Kerajaan hari ini dipertikaikan berhubung kesediaan dalam berhadapan wabak baharu Omicron Covid-19 yang melanda negara.

Menurut laporan media telah memaklumkan bahawa Johor telah mencatat dua kes Omicron yang dikesan di negeri ini.

Menurut Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, Rozita Abdul kerajaan lebih berminat untuk menguruskan soal politik dari mengambil langkah drastik dalam menguruskan wabak Omicron tersebut.

“Apa yang keluar dari mulut Menteri Besar (MB) Johor hanyalah sibuk dengan kuasa bukannya sibuk dalam mengendalikan soal kesihatan rakyat di negeri ini.

“Sememangnya kita kecewa dengan tindakan kerajaan dalam mengendalikan isu ini dengan hanya mengeluarkan kenyataan tanpa perlu membuat tindakan dari menyekang perebakan wabak baharu tersebut.

“Sepatutnya kerajaan perlu menilai semula berkenaan dengan mangsa yang terkena wabak tersebut dan mengenal pasti kontak rapat serta mengadakan ujian terhadap kontak rapat tersebut untuk mengenal pasti ekor dari wabak ini.

“Hentikanlah pemikiran yang sibuk dalam mencatur kuasa sedangkan rakyat tengah berada dalam keadaan yang bimbang dan risau tentang kesihatan mereka,” tegasnya.

Terdahulu Johor mencatatkan dua kes Covid-19 varian Omicron terawal melibatkan pasangan suami isteri yang baru tiba dari Arab Saudi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan.

Beliau berkata dua kes Omicron yang dilaporkan semalam itu membabitkan sepasang suami isteri yang telah pergi menunaikan umrah pada 4 Dis lalu dan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Dis.