Kerajaan diminta mencari jalan dan mekanisma untuk menurunkan harga barangan bukannya meminta rakyat bersedia untuk menerima kenaikan harga, kata bekas timbalan menteri, Datuk Mahfuz Omar.
Ahli Parlimen Pokok Sena yang turun ke Pasar Pekan Langgar untuk meninjau program jualan oleh agensi kerajaan berkata, jika sekadar meminta rakyat bersedia, itu bukan kerajaan.
“Kerajaan kena mencari mekanisma macamana nak turunkan harga bukan minta rakyat terima kenaikan harga barang,” kata Mahfuz dalam sidang media selepas kunjungan itu.
Mahfuz sangat bimbang dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, rakyat perlu bersedia menghadapi kenaikan harga barangan khasnya ayam selepas 4 Februari ini.
Bagi Mahfuz, kerajaan boleh mengawal kenaikan harga barangan dengan berbincang antara kementerian dan agensi berkaitan bagaimana mahu menurunkan harga barangan ini.
“Saya nampak mereka yang ada macam dah tepu, tak tahu nak buat apa sehingga minta rakyat bersedia.
“Semua pihak perlu duduk berbincang, kementerian Pertanian, Miti, Hal Ehwal Pengguna dan Kewangan perlu berbincsang antara satu sama lain dan cari jalan penyelesaian.
“Saya bimbang jika perkara ini berterusan ia akan membawa kepada kenaikan harga di musim sambutan Ramadhan dan perayaan pula nanti,” kata Mahfuz.