KKM perlu kaji keberkesanan vaksin, kata pakar kesihatan swasta

Oleh BORHAN AHMAD

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mengkaji keberkesanan vaksin yang digunakan ekoran peratusan kes yang positif Covid-19 di kalangan yang telah divaksin agak tinggi.

Pakar Kesihatan Kanak-kanak sebuah hospital swasta, Dr Zaidi Zakaria berkata, tidak dinafikan, vaksin umumnya adalah langkah pencegahan terbaik mengawal penularan jangkitan virus.

“Bagaimanapun, kita perlu adil dalam pemantauan dan penilaian keberkesanan vaksin,” kata beliau menerusi facebook beliau.

Katanya, setiap kali/hari disebut kes dan peratusan positif di kalangan tidak vaksin, tidak disebut kes dan peratusan di kalangan vaksin.

“Bukan saya tidak setuju dengan vaksin, tetapi sangat penting memantau keberkesanan vaksin demi kebaikan semua.

“Jika keberkesanan vaksin mulai menurun, langkah-langkah sewajarnya perlu disegerakan sebelum keadaan jadi lebih mudharat,” kata beliau dalam tulisan itu.

Katanya, berdasarkan dapatan, 33.8% yang lengkap vaksinasi kini positif dalam kategori 1-2, manakala 25.5% lengkap vaksinasi dari kategori 3-5.

“Sebenarnya kadar ini adalah peratus yang sangat tinggi bagi vaksin yang dikatakan punyai keberkesanan ‘efficacy’ 95%,” kata beliau.

Peratusan 25.5% – 33.8%, katanya, menggambarkan jika populasi vaksinasi 80% dicapai belum pasti akan mencapai ‘Herd Immunity @ HI’.

Jika diperhalusi lagi, katanya, jumlah lengkap vaksinasi campur dengan yang tidak lengkap vaksinasi (terima 1 dos vaksin), kategori 1-2 ialah 56%, kategori 3-5 ialah 48.8%.

“Apa yang membimbangkan dengan peratusan ini (48.8% – 56%)?” tanya beliau.

Yang paling membimbangkan, katanya, ia tanda-tanda awal menunjukkan kemungkinan kadar kebolehjangkitan kepada populasi oleh mereka yang telah divaksin dan mereka yang tidak vaksin adalah sama.

“Kita harap, KKM dapat mengenalpasti punca berlakunya sedemikian,” kata beliau.