KM patutnya tubuh segera jawatankuasa, nilai semua projek tambak laut Melaka

Oleh KIM SYAZIE

Daripada terus menyalahkan Pakatan Harapan berhubung penambakan 300 ekar kawasan laut Melaka, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali sepatutnya melakukan siasatan segera kerana kelulusan penambakan telah diberi pada tahun 2016 dan 2017 sewaktu Barisan Nasional memerintah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari berkata, memandangkan kelulusan itu dikaitkan dengan pemilikan saham oleh seorang ADUN pada ketika itu dan beberapa individu yang lain, maka siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar dimulakan.

“Bantahan oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa orang Ahli Parlimen wajar juga diambil kira walaupun laporan impak alam sekitar (EIA) telahpun dikeluarkan.

“Memandangkan kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu projek penambakan laut itu diteruskan atau tidak terletak dibawah bidang kuasa kerajaan negeri, maka Ketua Menteri selaku ketua kerajaan negeri bertanggungjawab membuat semakan semula kelulusan penambakan laut sama ada ianya wajar diteruskan atau tidak dengan mengambil kira situasi semasa,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Adly menambah, kerajaan negeri dan pihak SPRM diingatkan agar siasatan SPRM tidak hanya terhad kepada kawasan tambakan 300 ekar tersebut, tetapi juga terhadap kelulusan terhadap projek konsesi penambakan terbaharu kerajaan negeri yang melibatkan kawasan tambakan seluas 1,190 ekar.

Semasa Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka yang lalu, ketua menteri telah memberi jaminan bahawa satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai keseluruhan projek penambakan laut negeri Melaka.

“Justeru itu, saya mencadangkan agar penubuhan jawatankuasa itu disegerakan dan wakil bukan kerajaan serta NGO turut dilibatkan,” katanya.

Ketika Pakatan Harapan mengambil alih Melaka pada Mei 2018, sejumlah lebih 8,000 ekar kawasan tambakan laut telahpun diberikan kelulusan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Selepas PH menjadi kerajaan, sebahagian konsesi penambakan laut telah ditamatkan dan sebahagian lagi diteruskan, tertakluk kepada pandangan teknikal yang diberikan oleh jabatan dan agensi kerajaan.

PH telah menetapkan untuk meneruskan mana-mana konsesi penambakan laut dengan mengambil kira beberapa perkara antaranya jumlah kos yang telah dibayar pada kerajaan negeri.

Selain itu, komitmen dan proses permohonan kelulusan teknikal yang telah dilakukan pemaju juga dipertimbangkan, selain risiko yang bakal dihadapi oleh kerajaan negeri sekiranya syarikat konsesi mengambil tindakan mahkamah yang boleh menyebabkan kerugian dana awam yang tinggi.