Layan kekasih Sharnaaz dengan baik, sikap Noor Nabila tuai pujian, – “Contoh mak ayah tak penting diri”

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas isteri pelakon, Sharnaaz Ahmad iaitu Noor Nabila kembali mencuri perhatian ramai selepas membuat perkongsian di laman Instagram miliknya.

Memuat naik satu rakaman video, Nabila tampil mempromosikan produk makanan tempatan yang berasaskan daging bersama anak lelakinya iaitu Jebat Jayden.

Namun, apa yang menjadi tumpuan adalah kehadiran teman wanita Sharnaaz iaitu pelakon, Amelia Christie di dalam video tersebut di samping dua beranak berkenaan.

Berdasarkan tulisan di dalam ruangan kapsyen, Nabila difahamkan memberi tugasan kepada Amelia untuk menjaga Jebat selama sehari bersamaan dengan 24 jam.

Pertama kali tampil bersama, kedua-dua wanita itu tampak begitu selesa ketika menjalankan tugas masing-masing dalam mempromosi produk makanan berkenaan.

Malah, Jebat juga kelihatan mesra dan langsung tidak kekok dengan kehadiran Amelia malah kanak-kanak itu sempat menyuap seketul daging kepada kekasih bapanya.

“Selamat menjaga @jebatjayden selama 24 jam Aunty Amelia. Selamat maju jaya,” tulis Nabila yang juga ahli perniagaan berusia 39 tahun itu di ruangan kapsyen Instagram miliknya.

Tular di media sosial, rata-rata pengikut Nabila memuji sikap wanita itu yang terbuka dalam mengekalkan hubungan baik dengan bekas suaminya termasuk kekasihnya.

Bagi mereka, Nabila dan Sharnaaz telah memberikan contoh yang baik bahawa hubungan ibu bapa masih boleh kekal terjalin demi anak-anak meskipun sudah bercerai.

“Kalaulah semua mak ayah yang bercerai macam mereka berdua. Anak tidak akan rasa kehilangan. Contoh mak ayah yang tak pentingkan diri, tahniah,” kata seorang pengguna.

“Sangat positif dan bertanggungjawab. Selalu dahulukan anak mereka. Amelia pun memahami. Suka dengan aura positif ini. Bagus untuk Jayden juga!” Kongsi pengguna lain.

Terdahulu, Nabila dan Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga pada Mac 2017, namun hubungan itu tidak kekal lama dan mereka bercerai pada 9 Julai 2020 lalu.

Hasil perkongsian hidup selama tiga tahun, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Jebat Jayden yang kini sudah berusia enam tahun. 

Sementara itu, hubungan cinta Sharnaaz dan Amelia pula mula dapat dihidu apabila pelakon wanita tersebut kerap menemani kekasihnya itu di beberapa acara rasmi.

Difahamkan, hubungan mereka berdua mula rapat selepas menjalani penggambaran sebuah drama bersama.

Baca juga: Baru tahu ada cara nak bagi Mi Goreng Basah kekal lembab, dijamin kekal likat sampai esok!