Seorang lelaki di England menggunakan masa selama dua tahun untuk mengubah suai menara tangki air konkrit menjadi sebuah banglo bernilai £1 juta (RM5.4 juta).
Apa yang memeranjatkan, Rob Hunt berjaya mengubah tangki air konkrit berusia 80 tahun itu, menjadi sebuah hartanah mewah di Bideford, Devon.
Hunt mengubah suainya menjadi kediaman keluarga yang mempunyai empat bilik dengan tingkap besar selepas membeli menara tangki air yang dibina dalam tahun 1940-an itu pada 2019.
Bukan itu sahaja, banglo itu juga dilengkapi sistem pemanas bawah lantai bagi memastikan ia panas dan selesa sepanjang tahun.
“Saya tidak pernah membuat sesuatu seperti ini sebelum ini.
“Saya pernah mengubah suai rumah sewa dan beberapa kerja membaik pulih yang mempunyai reka bentuk aneh, namun semuanya kelihatan biasa,” kata Hunt yang menceritakan perjalanan pengubahsuaian menara tangki air itu.
Ketika mengubah suai hartanah tersebut, Hunt tinggal di dalam sebuah karavan terpakai miliknya yang diletakkan berhampiran menara tangki air itu.
Dia menghabiskan masa berminggu-minggu untuk memotong konkrit setebal 25.4 sentimeter berseorangan sebelum membawa seorang pekerja untuk membantunya.
Bagaimanapun, Hunt merancang untuk menjual hartanah tersebut pada musim panas tahun ini.