Sebelum ini, fenomena mendulang emas mula mencuri perhatian apabila semakin ramai rakyat Kelantan berpusu-pusu menyatakan minat.
Malah ada yang sanggup mempertimbangkan untuk berhenti kerja demi mencuba nasib dalam aktiviti tersebut yang dianggap mampu menjana pulangan lumayan.
Terbaharu, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan rakyat Kelantan yang mahu menjadi pendulang boleh membuat permohonan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Pejabat Tanah Jajahan bermula hari ini.
Memetik Bernama, beliau memaklumkan permohonan yang dihantar akan diproses dan diluluskan dalam tempoh tertentu mengikut syarat ditetapkan.
“Setakat ini kita tidak meletakkan sebarang had permohonan… semua yang berminat boleh mengisi borang tersebut yang disediakan secara manual di PTG atau pejabat tanah jajahan.
“Daripada maklum balas yang diterima menerusi media sosial, kita jangkakan permohonan untuk mendulang akan mendapat sambutan yang menggalakkan,
“PTG telah memberi komitmen bahawa pihaknya bersedia untuk menguruskan proses permohonan itu,” katanya seperti dipetik Bernama.
Buat pembeli emas pula, Mohamed Fazli memaklumkan mereka perlu mendapatkan kelulusan negeri bagi urusan pembelian mineral berharga itu.
“PTG juga akan mengeluarkan pewartaan kawasan mendulang emas dalam masa terdekat membabitkan empat jajahan yang telah dikenal pasti mengandungi sumber mineral itu.
“Empat jajahan itu adalah Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai… kita juga akan kenal pasti kawasan lain yang ada sumber ini dan akan membuat penilaian dari semasa ke semasa untuk diwartakan.
“Kerja mendulang juga hanya dibenarkan di kawasan yang telah diwartakan dan dilakukan pada waktu pejabat,” katanya.
Baca juga: Tersenyum Hakim mahkamah tengok slip gaji bulan depan, ada yang cecah RM46,800