Letih dengan desakan netizen suruh kahwin dengan Sharnaaz, ini respon Noor Nabila

Oleh WAN SITI AMINAH

Umum mengetahui, pelakon Sharnaaz Ahmad masih mengekalkan hubungan yang baik dengan bekas isteri, Noor Nabila meskipun sudah lama bercerai.

Terbaharu, Sharnaaz, Nabila dan anak mereka iaitu Jebat Jayden kembali menyita perhatian selepas muncul bersama di dalam satu video promosi produk makanan.

Video pemasaran (marketing) bagi jenama makanan terkenal tempatan itu dikongsi menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun Instagram milik Sharnaaz.

Susulan penularan video tersebut, rata-rata pengguna media sosial mengakui kagum dan merasa senang ketika melihat keserasian yang ditonjolkan oleh tiga beranak itu.

Seperti yang dijangka, ruangan komen hantaran tersebut dipenuhi dengan kata-kata sokongan agar Sharnaaz dan Nabila kembali bersatu sebagai pasangan suami isteri.

Tidak henti mendoakan agar mereka berdua kembali ‘rujuk’, ramai peminat menyifatkan jodoh antara pelakon dan kakak kepada usahawan selebriti, Neelofa itu sangat kuat.

Walau bagaimanapun, Nabila yang baharu sahaja bercerai dengan bekas suaminya, Engku Emran itu nampaknya tidak berkongsi pendapat yang sama dengan peminat.

Tampil menjawab komen para peminat di hantaran tersebut, Nabila menjelaskan bahawa dirinya dan bekas suami sudah mengikut haluan mereka masing-masing.

Usahawan yang berusia 39 tahun itu hanya memohon orang ramai agar mendoakan Jebat sahaja memandangkan mereka berdua sudah mempunyai kehidupan sendiri.

“Kamu semua doakan yang baik-baik untuk anak kita sahaja. Itu sudah cukup untuk kita berdua. Untuk kami berdua, kita sudah ada kehidupan masing-masing.

Peace you all, komen yang baik-baik sahaja okay,” ujar Noor Nabila yang hanya mahu menjernihkan keadaan.

Sehubungan dengan itu, tinjauan di ruangan komen balas mendapati pengikut menghormati keputusan kedua-dua pihak dan memuji hubungan baik mereka berdua.

Terdahulu, Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 sebelum disahkan bercerai secara hakam pada 9 Julai 2020 lalu.

Hasil perkongsian hidup selama tiga tahun, pasangan tersebut telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun.

Nabila kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Engku Emran pada 19 Mac 2021 sebelum bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 25 September lalu.

Baca juga: Siap bawa tukang urut, Tony Fernandes kongsi foto hadiri mesyuarat tak berbaju!