Letih difitnah bercinta dengan Shuib sebelum Siti Sarah meninggal, ini respon pedas Watie Hanafiah

Oleh WAN SITI AMINAH

Watie Hanafiah menegaskan bahawa dirinya tidak berhubungan dengan pelawak, Shuib ketika lelaki itu masih menjadi suami kepada penyanyi terkenal iaitu Siti Sarah.

Pemilik nama sebenar Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah itu berkata, dia baru berkenalan dengan suaminya, Shuib selepas beberapa bulan lelaki tersebut bergelar ‘duda’.

Memuat naik satu tangkap layar di lnstagramStory’ miliknya, Watie memaparkan bukti perbualan ketika Shuib memulakan langkah untuk ‘tackle’ atau memikat dirinya.

Dalam perbualan tersebut, Shuib didapati mula menghantar pesanan secara terus (DM) kepada Watie menerusi platform Instagram pada 16 Disember, dua tahun lalu.

Selepas empat bulan pemergian isteri pertamanya, Siti Sarah, barulah Shuib yang juga penyampai radio itu menghantar DM untuk meminta nombor telefon milik Watie.

Hal ini kerana, pelawak yang berusia 39 tahun itu berpendapat bahawa agar sukar untuk mereka berdua terus berhubungan jika hanya berbalas pesanan di Instagram. 

“Aiyook, tanggunglah siapa yang fitnah itu. Kami tak pernah kenal pun. Dia tackle (mengurat) pun selepas dia menduda,” tulis Watie dalam tangkap layar berkenaan.

lnstagram ‘Story’ itu dimuat naik oleh Watie pada petang Selasa (semalam) selepas menerima pertanyaan daripada salah seorang pengikutnya di platform tersebut.

“Betul ke bercinta dengan Shuib semasa Shuib masih lagi suami arwah Siti Sarah?,” soal pengikut itu bagi mendapatkan jawapan mengenai spekulasi yang beredar.

Spekulasi tersebut dipercayai mula timbul selepas video yang pernah dikongsi Watie pada April 2019 lalu yang memaparkan dirinya sedang bermain golf kembali tular.

Instagram ‘story’ Watie bersama tangkap layar video golf yang kembali tular tahun lalu.

Video yang berlatarbelakangkan suara lelaki itu telah mengundang kontroversi apabila ramai orang membuat kesimpulan sendiri bahawa suara tersebut milik Shuib.

Watie yang ketika itu masih bujang kemudian tampil menafikan fitnah tersebut kerana katanya, Shuib belum lagi terjebak dengan permainan golf ketika video dirakam.

Terdahulu, isteri pertama Shuib iaitu penyanyi, Siti Sarah Raisuddin yang dinikahinya pada tahun 2011 dilaporkan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad kemudian mendirikan rumah untuk kali yang kedua bersama usahawan, Watie Hanafiah pada 23 Jun lalu.

Baca juga: Kesal bank beri ‘layanan buruk’, jutawan mengamuk arah keluarkan semua duit simpanan