Empat anggota penguat kuasa yang disyaki mengeluarkan ‘lesen terbang’ menerima padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
Pegawai yang ditahan itu didakwa telah menerima rasuah kira-kira RM300,000 daripada calon untuk meluluskan lesen tanpa perlu mengikuti sebarang ujian memandu.
Difahamkan, urus niaga haram ini dijalankan secara licik melalui perantara bagi memastikan tiada jejak ditinggalkan oleh calon dan pegawai penguat kuasa yang terlibat.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan mendapati suspek-suspek berkenaan melakukan kegiatan salah laku tersebut pada tahun 2021 dan 2022, lapor Sinar Harian.
Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang Isnin (semalam) ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 dan 2022 serta disyaki menerima wang rasuah melalui ejen atau orang tengah sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.
“Modus operandi yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa ini adalah dengan meminta dan menerima rasuah antara RM400 hingga RM1,200 daripada setiap calon bagi mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu,” katanya memetik Sinar Harian.
Tidak boleh dipandang enteng, kegiatan haram sindiket pengeluaran lesen terbang ini dipercayai menjadi punca kerugian hasil kerajaan kira-kira berjumlah RM1.5 juta.
Sekiranya terbukti bersalah, perbuatan anggota berkenaan bukan sahaja menjejaskan integriti pelesenan negara malah turut menimbulkan risiko besar kepada keselamatan jalan raya.
Ditahan reman untuk siasatan lanjut, penangkapan empat pegawai penguat kuasa terbabit telah disahkan sendiri oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy.
Menurut S Karunanithy, kes rasuah melibatkan pengeluaran ‘lesen terbang’ ini disiasat oleh pihaknya di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
“Kesemua suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada jam 9 pagi esok (hari ini).” Ulasnya lagi.