Maahad tahfiz semakin nazak perlu dapat pembelaan

Oleh KIM SYAZIE

Sebanyak 38 buah pusat tahfiz di seluruh Malaysia sedang nazak ekoran tiada dana diterima sepanjang dua tahun pandemik Covid-19 melanda negara, kata Ahli Jawatankuasa Syariah AMANAH Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Fadhil Mohd SayutPusat.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 15 pusat tahfiz terletak di Perak dan menjangkakan sehingga 60 peratus madrasah akan lumpuh ekoran tiada dana secara langsung yang diterima untuk menguruskan sekolah-sekolah yang terjejas.

Beliau menyatakan kebimbangannya terhadap kelangsungan pusat-pusat tahfiz yang semakin terjejas dan pendapatan guru-guru di pusat berkenaan yang kebanyakannya bergantung kepada yuran pelajar.

“Sekolah tahfiz boleh kata 99 peratus hak belajar dan mengajar adalah Melayu Islam. Budak-budak Islam, gurunya juga Islam.

“Tetapi ada laporan menyatakan, jika pandemik berterusan dan tiada bantuan diterima, sehingga 60 peratus sekolah tahfiz seluruh Malaysia dijangka ditutup sebab tidak ada kemampuan.

“Pengerusi NGO Permata yang menguruskan kebajikan madrasah tahfiz seluruh Malaysia berkata, bantuan dari kerajaan paling tinggi RM10,000 sahaja. Itu pun payah sangat nak dapat,” katanya dalam ceramah politik isu semasa di Facebook Parti Amanah Negara Negeri Kelantan malam tadi.

Ustaz Fadhil berkata, sewaktu di bawah pentadbiran Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, tahfiz-tahfiz diberi peruntukan sebanyak RM50 juta, namun hanya sempat menggunakan RM10 juta.

Menurutnya, isu pusat tahfiz perlu segera mendapat pembelaan semua pihak terutama dari Menteri Agama, Idris Ahmad.

Pada Ogos lalu, Idris berkata bahawa isu maahad tahfiz yang tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara fokus utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Beliau berkata, pihaknya mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu terlebih dahulu sebelum mengulas mengenainya.